SUMBER : https://mforum.cari.com.my
Si lelaki berusia lingkungan pertengahan 20an memakai kemeja
off-white dan seluar coklat, khaki mungkin. Manakala disebelahnya, kemungkinan
kekasih atau isteri kelihatan masih muda seperti pelajar sekolah menengah
kelihatan senyum tersipu-sipu dalam pelukan si lelaki. Rohani melihat dari
tingkap sisip pasangan itu beria-ria melambai-lambai ke arahnya.
Pelik. Siapa pula berdiri panas-panas tengahari buta ini? Rohani melihat kiri
dan kanan. Rakan-rakan lain sibuk menyusun barangan masing-masing dalam locker.
Aktiviti menyarung cadar pada katil baru terhenti separuh jalan kerana dia
masih tertarik dengan pasangan yang masih melambai-lambai.
Hendak ditanya rakan sebelah, masih tak tahu nama. Maklumlah baru sahaja
selesai pendaftaran masuk ke asrama dan diberi dormitori masing-masing. Nak
tanya nama pun tak sempat lagi, kerana pelajar baru cuma diberi 20 minit untuk
meletak barang, mengemas katil masing-masing kemudian ke Dewan Makan untuk
minum petang dan taklimat aktiviti seterusnya.
Rohani mendekati tingkap untuk pandangan lebih jelas. Didapati pasangan
tersebut berdiri di tangga batu mengarah ke padang besar. Kata Rohani, pasangan
itu kemudian berhenti melambai dan wajah bertukar menjadi muram. Dari tingkat
empat blok C Aspuri, Rohani melihat jelas wanita muda itu menekup wajah dengan
bahu terhinjut-hinjut, menangis. Lelaki itu berpaling mengadap wanita dan
mendakap sambil melentokkan kepala ke bahu pasangannya.
"Ape kejadah dua ekor ni?" Kata-kata Rohani untuk diri sendiri
agaknya lantang sikit sampai rakan dorm sebelah menegur.
"Dua ekor ape?" Tanya pelajar berkulit putih cantik menawan yang
masih tidak tahu namanya.
"Eh eh...err hai" Termangu-mangu Rohani dan malu pula ditanya
sebegitu.
"Aishah, panggil Ecah je" Tangan dihulur dan disambut Rohani. Dalam
hati terfikir bahawa 'Ecah' ini mungkin anak orang kaya kerana begitu lembut
tangannya, macam tak pernah buat kerja dapur langsung. Berbeza betul dengan
tapak tangannya yang dah macam tangan tukang kayu.
"Oh err Ecah eh...Rohani, tapi panggil Kak Long je ..ehhh!" Terkenal
dengan sifat tomboy, Rohani kekok berkenalan ala-ala siaran drama melayu ni.
Sampai nama manja di rumah pun terkeluar. Bila difikirkan balik, memang Rohani
hanya dikenali sebagai 'Kak Long' di kampung, mana ada nama lain. Padahal malam
tadi dia dah rangka-rangka nak perkenalkan diri guna nama apa, tak nak lah
panggil Rohani, kampung, mungkin Ani? Anne? Roy?
"Haa KAK LONG!" Suara besar kedengaran dari belakang. Rohani menoleh
ke belakang dan mendapati perempuan mungkin tiga kali saiznya merapati dia dan
Ecah.
Kata Rohani, mungkin itu sesi suai kenal pertama di antara dia dan ahli-ahli
dorm 13. Dari nak nama urban, terus melekat nama Kak Long. Lantaklah,
sekurang-kurangnya terasa seperti di rumah juga lah. Tengah syok beramah-mesra,
Ecah bertanya semula tentang 'dua ekor' tadi.
Rohani bergegas ke tingkap semula dan mendapati tiada siapa di padang.
"Tadi aku nampak ada couple lambai-lambai kat tangga batu tu" Terang
Rohani. Semua melekat di tingkap cuba melihat siapa yang Rohani maksudkan.
"Couple senior kot" Kata Ida, wanita gergasi yang mula-mula
panggilnya Kak Long tadi.
"Gigih betul beromen tengah panas buta ni" Sambut Ain, kecil molek
berasal dari Melaka tapi mulut tiada insurans.
Suara lelaki dari PA mengejutkan mereka. Arahan keras meminta semua freshies ke
Dewan Makan sekarang juga. Kelam-kabut lah semua bersiap turun ke bawah. Kata
Rohani, macam biasalah minggu orientasi, abang-abang dan kakak-kakak
fasilitator berlagak garang, sikit-sikit nak kritik tak tepati masa lah, itu
lah, ini lah, the usual trope.
Hampir seminggu orientasi, Rohani semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan
asrama meskipun tak pernah duduk asrama sebelum ini. Mungkin di kampung dia dah
biasa hidup berdikari membantu atuk dan nenek menguruskan empat adiknya. Cuma
adalah terasa sedikit homesick waktu malam mengenangkan waktu-waktu begitu
biasanya dia berkumpul satu keluarga depan TV di ruang tamu. Hari terakhir
orientasi, freshies disuruh ke padang besar sekolah.
Sekolah tersebut ada beberapa padang tapi yang paling besar terletak di hujung
sekolah bersebelahan blok C Aspuri. Padang itu biasanya digunakan kalau ada
temasya besar seperti sukan daerah dan sebagainya, jadi kalau untuk aktiviti
sekolah jarang guna padang besar. Pagi itu ada aktiviti riadah kerana semua
pelajar baru akan dibagi-bagikan mengikut rumah sukan masing-masing.
Ditakdirkan akan jadi BFF agaknya, Rohani, Ecah, Ida dan Ain masuk dalam Rumah
Kasturi (nama rumah sukan ikut nama 5 bersaudara). Tengah masih lagi excited
dapat satu rumah, ditambah lagi excitednya apabila mereka dimaklumkan ada
aktiviti Mencari Harta Karun.
Biasalah budak-budak asrama baru nak naik kan, tahu sahaja pagi itu ada
treasure hunt, riuh macam budak sekolah rendah, baik lelaki, baik perempuan.
Berkali-kali fasi minta semua bertenang pakai mikrofon. Bila dah reda sikit
barulah peraturan-peraturan dibacakan.
"Minta semua pelajar Aspura dan Aspuri jangan sesekali pergi ke hujung
padang, terutamanya di kawasan tangga batu itu" Kata Abang Rafee, ketua
fasilitator dengan trademark bahasa bakunya, sambil menunjuk dengan tangan.
Rohani teringat akan peristiwa hari pertama. Kalau misteri pasangan kekasih itu
masih berlegar di minda, kedudukan tangga batu itu lagi lah menambah kepada
banyak lagi persoalan. Perasaan teruja Rohani tentang aktiviti pagi itu lenyap
sebaik dia melihat tangga dari sudut lain
Tangga ialah penghubung dua destinasi berbeza ketinggian dan ia dibina dengan
sebab. Tak ada tangga yang dibina tanpa tujuan tapi tangga batu di hujung
padang belakang blok dorm Rohani memang aneh. Pertama, anak tangga paling atas
(mengarah ke blok Aspuri) tidak bersambung dengan mana-mana koridor atau laluan
pejalan kaki. Di belakang blok C Aspuri hanya tempat menyidai pakaian dan anak
tangga hanya melukut di tebing rumput dan dipisahkan oleh pagar dawai. Kedua,
anak tangga pertama (mengarah ke padang) diakhiri dengan longkang lebar dan
dalam, longkang itu pun tidak bertutup menandakan kalau sesiapa menuruni tangga
mereka terperangkap di anak tangga terakhir. Ketiga, kalau padang biasanya ada
dibina struktur seperti tangga untuk jadi tempat penonton duduk, itu bukan
perihalnya dengan tangga tersebut. Tangga itu hanya selebar, mungkin 1 meter
dan tidak mempunyai penghadang. Dan terakhir, tangga itu seolah-olah dibina
dengan rambang kerana tiada struktur lain di hujung padang selain dari blok C
Aspuri yang terletak 100 meter jauhnya dari anak tangga. Tak tahu apa yang cuba
dihubungkan oleh tangga tersebut.
Kata Rohani, tiba-tiba ternampak ada orang merangkak di tengah tangga. Walaupun
berada beratus meter jauhnya dari tangga itu, dia bersumpah mengatakan dia
betul-betul nampak ada orang atau sesuatu sedang merangkak naik tangga.
Berkali-kali dia gosok mata dan masih nampak orang perlahan-lahan panjat dengan
kedua belah kaki dan tangan, seolah terseksa betul dia nak panjat.
Tak puas hati punya pasal, Rohani keluar dari barisan dan pergi mengarah ke
tangga untuk pandangan lebih jelas. Bila dah keluar dari ramai-ramai itu,
dengan serius dan jujurnya, mata melihat lembaga hitam dalam keadaan merangkak
dan dilitupi kain hitam sampai di atas dan memanjat pagar dawai dan kemudian
berselirat seperti sotong kurita hitam di palang sidai baju sebelum melompat
sepantas kilat naik ke bumbung blok C Aspuri dan hilang dari pandangan.
Terhenti nafas Rohani. Dia tak percaya apa yang baru dilihatnya. Sepanjang
hidupnya dia tak pernah di ajar tentang hantu jembalang ini semua. Semasa kecil
dia dah diterapkan oleh atuk dan nenek supaya tidak mempercayai perkara tahyul
dan begitu juga adik-beradik lain. Rohani tidak pernah merasa takut berada
sendiri di rumah kampung mahupun pergi ke belakang rumah yang bersebelahan
tanah perkuburan (atuk Rohani mewakafkan tanah belakang rumah jadi tanah
perkuburan). Malah kalau tengok cerita hantu di TV pun dia dan adik-adik boleh
ketawa aja. Konsep paranormal memang tak wujud dalam diri Rohani tetapi bila
dah tengok dengan anak mata sendiri, dia keliru.
Keliru bagaimana hendak reaksi kepada penampakan itu. Dia tahu apa yang
dilihatnya tidak normal dan bukan kes tersalah tengok. Matanya masih tajam
untuk mengenal pasti objek walaupun beratus meter jauhnya apatah lagi ada
pergerakan oleh benda itu menandakan Rohani yakin bukan tengok kain hitam
ditiup angin dan merewang-rewang di tangga.
Ia adalah sesuatu tetapi tak tahu apa bendanya. Tapi apa yang dia yakin, dia
rasa tak sedap hati kerana naluri kuat mengatakan bahawa 'benda' itu berniat
jahat.
"Siapaa yang tak masuk barisannn rumah tuuu" Suara Abang Rafee dari
mikrofon disambut hilai tawa.
Bahu Rohani di tarik.
"Kak Long! buat ape kat sini! Malulah orang tengok!" merah padam
kulit putih Ecah cuba menarik Rohani masuk semula ke barisan. Rohani seperti
biasa dengan blur dia, terpinga-pinga masuk semula barisan. Sahutan tiga kali
sebelum acara bermula tapi Rohani masih melihat ke arah tangga batu di hujung
padang.
Dipendekkan cerita, semua berjalan lancar dan hampir sebulan Rohani di sana.
Penampakan waktu orientasi pun semakin dilupakan. Masuklah minggu terakhir
sebelum genap sebulan. Penggera berbunyi menandakan tamat prep malam. Rohani
pulang ke dorm selepas minum malam di Dewan Makan. Biasanya malam Jumaat,
Rohani, Ecah, Ain dan Ida akan melepak dulu di katil Siti dan Lin
berborak-borak sebab besoknya Sabtu, jadi boleh lah tidur lambat sikit. Kata
Rohani dalam dorm 13 Aspuri ada 12 orang menghuni 6 katil double-decker. Rohani
sekatil dengan Siti dimana sepatutnya dia dapat katil bawah tapi tukar dengan
Siti sebab katil bawah panas. Dalam 12 orang itu, Rohani hanya rapat dengan 6
orang ini aja. Lagi 6 samada ada clique tersendiri (jarang duduk dorm) ataupun
buat hal sendiri. Disebabkan kipas dinding betul-betul sebelah katil Rohani,
memang jadi tempat lepak lah dua katil double decker itu untuk geng Rohani,
kena pula Lin sentiasa ada stok makanan.
Malam itu mereka merancang aktiviti outing besoknya. Di sekolah itu, outing
untuk Aspura dan Aspuri bergilir-gilir Sabtu dan Ahad. Kalau minggu ini Aspura
keluar Sabtu, makanya Aspuri outing hari Ahad. Jadi untuk minggu itu, outing
Aspuri jatuh hari Sabtu.
Kedudukan sekolah di ibu negeri yang di antara dua bandaraya, tak banyak
pilihan yang ada. Paling tak pun pergi pusat beli-belah berdekatan yang cuma
ada Marrybrown. Tapi tak kisah pun, it's the moment with close buddies that
matters. Masa tengah borak-borak, terkeluar cerita pasal hantu. Masa ini lah
Rohani teringat pasal pasangan di tangga batu. Makhluk di tangga nampak hari
terakhir orientasi itu Rohani tak berani nak ceritakan lagi kerana takut nanti
orang cakap dia membohong pula.
"Korang ingat tak first day aku ada cakap pasal couple kat tangga
batu?"
Ecah ingat, Ida ingat-ingat lupa, Ain langsung tak ingat manakala Siti dan Lin
tiada di dorm masa itu (terus pergi Dewan Makan).
Untuk refresh semula, Rohani menceritakan apa yang dia nampak pada hari
pertama. Kata Rohani dia macam segan-segan juga nak cerita sebab dia tak tahu
selok-belok cerita paranormal. Mungkin kenaifan dan kejujuran Rohani bercerita
membuatkan semua terpaku melihat tak berkelip mata. Masing-masing bertoleh ke
cermin melihat ke tangga batu di luar. Kegelapan malam tidak menenggelamkan
batu itu dari jelas dilihat bentuknya oleh enam gadis berusia 16 tahun itu.
"Kak Long, seram pulak aku tengok tangga tu lepas dengar cerita kau
ni" Kata Ida montel sambil memeluk erat bantal peluk Siti.
"Korang nak dengar cerita pasal tangga batu tu tak?"
Melompat Rohani dan rakan-rakannya terkejut beruk tiba-tiba ada suara di tengah
dorm. Aminah, gadis India Muslim yang sering bersendirian. Hari ini bersuara
pula dia, tanpa makluman pula.
Dalam dorm yang gelap, Rohani melihat jelas rambut Aminah yang beralun panjang
mengurai hingga ke pinggang. Baju kelawar yang dikenakan membuatkan Aminah
kelihatan tua dari umurnya, seperti mak-mak orang.
Aminah tidak terkesan dari latahan dan jeritan rakan dormnya. Dia tenang di
tengah dorm, tidak bergerak seinci pun. Tanpa menunggu respon dari Rohani
sekawan, Aminah bercerita...
"Masa zaman Jepun dulu, sekolah ini jadi markas pemerintahan. Tapak blok
asrama kite ni dulunya ialah stesen keretapi dan sebelum menyerah kalah, askar
Jepun buat pesta pancung kepala orang. Mereka pancung kepala tu di belakang
blok kite ni kat tempat sidai baju dan kepala yang telah dipancung akan di
tendang jatuh bergolek di tangga batu kat luar tu"
Rohani dan rakan-rakan berpandangan antara satu sama lain. Dari segi kesahihan
cerita memang cerita tipu lah kata Rohani. Pertama, sekolah mereka dibina
sekitar 10 tahun dahulu, jadi mana datangnya askar Jepun? Kedua, tangga itu
asalnya sebahagian dari struktur stesen keretapi, dari mana pula datangnya
keretapi di kawasan ini? Kalau betul mesti ada bekas landasan keretapi.
Tapi dari cara ketenangan Aminah berdiri tanpa bergerak seinci pun cukup
membuatkan dorm 13 hening dan seram. Mereka mula menjauhkan diri dari Aminah
dan berlonggok di kepala katil. Kata Rohani, dah memang dasar orang Melaka
agaknya, Ain bersuara...
"Kau cerita bohong abende ni Minah, mana ada hantu Jepun lah kat sekolah
kite ni, tak sampai 10 tahun pun"
Naik sheikh pula si Aminah terus menjerkah ke Ain dan mencekik leher sambil
menjerit.
"KO KATE AKU PENIPU HAH SUNDAL? KO INGAT AKU BOHONG MACAM KAU KE
PELACUR?!! HAH!!" Kata Rohani, Ida yang besar itu pun tak terdaya nak
leraikan. Ain pula dah tersekat-sekat nafas sambil kaki menendang-nendang betis
dan peha Aminah. Sekali lagi Rohani tersentak. Dia terkejut apabila setiap kali
Ain tendang Aminah, dengar macam bunyi kayu berlubang, macam ketuk buluh.
Lampu-lampu dorm senior di blok B menyala satu-satu. Sahutan suruh diam dan
tidur bersambung-sambung. Matilah kita kata Rohani dalam hati. Suara-suara yang
bertanya apa terjadi terdengar di luar. Pintu dorm di buka dan ketua Aspuri
bersama Ustazah Fauziah, warden Aspuri menerjah masuk.
Kata Rohani, Ustazah Fauziah tak cakap banyak, terus lepuk je sorang-sorang
pakai tapak tangan. Ketua Aspuri buka lampu, apa tercengang semua orang.
Darah bertakung di kaki Aminah dan berjujuran dari katil yang tilamnya kuyup
dengan darah.
Okay, mungkin Aminah ini jenis banyak keluar darah waktu period, tapi takkan
lah sampai melimpah-limpah? Macam perempuan bersalin pula.
Ustazah Fauziah dikenali sebagai singa betina bertempik memarahi Rohani dan
yang lain. Tak pasal-pasal juga empat lagi penghuni dorm 13 yang tidur kat dorm
gang Kelantan pun kena juga. Sambil marah, sambil tangan mencubit dan menampar
ahli-ahli dorm 13. Kata Rohani masa itu dia betul-betul bengang dengan Aminah.
Memang siaplah betina itu lepas ini kata Rohani dalam hati.
Selesai sesi maki-hamun, Ustazah Fauziah menyentap tangan Aminah keluar dari
dorm, mungkin untuk dibersihkan sambil mulut tak habis-habis menceceh.
Senior-senior Aspuri gangster yang pengkid pula menyambung sesi Ustazah
Fauziah. Dah pukul 2 pagi baru selesai. Ida dan Ecah mop darah di lantai
manakala Rohani, Siti, Lin dan Ain bersihkan katil dan tilam Aminah. Lagi empat
orang baring di katil masing-masing tak menolong langsung. Masing-masing mata
merah sebab kena marah, cubit dan rotan sambil tersedu-sedu. Paling kasihan si
Ain kerana sampai bertanda leher dicekik Aminah.
Sebagai hukuman, satu dorm tak boleh keluar outing besok. Rohani berbaring tak
boleh tidur. Dia menoleh ke sebelah lihat Ecah tidur. Mungkin tutup mata
sahaja.
"Ecah..Ecah..Kau dah tido ke?" Bisik Rohani.
Ecah tidak membalas cuma mengerang. Empat ahli dorm yang bukan dari geng Rohani
mula sindir-sindir suruh tidur dalam loghat Kelantan. Kalau tak kerana Ecah
kata sudah-sudah lah, tidur aja, dah lama Rohani penumbuk empat orang itu.
Bunyi nafas rakan-rakan menandakan semua dah terlena. Kecuali Rohani yang pejam
mata, guling kiri, guling kanan tak dapat tidur. Segar aja matanya.
"Sruuut...Sruuutt....Sruuutt" Terus Rohani buka kelopak mata sebaik
dengar bunyi tersebut.
"Sruuut...Sruuutt....Sruuutt" Bunyi macam orang sedut air liur dalam
mulut.
"Sruuut...Sruuutt....Sruuutt" Datangnya dari arah katil Aminah.
Katil Aminah bertentangan dengan Rohani. Perlahan-lahan dia berguling ke kiri,
konon-konon masih tidur. Sebaik berada dalam posisi, dibuka sedikit kelopak
mata.
Dalam gelap, Rohani nampak ada lembaga hitam sedang mencangkung menghadap tilam
Aminah yang di dampar ke dinding. Mulut lembaga itu tirus macam kon dan ada
benda terjulur keluar masuk menjilat-jilat kesan darah period Aminah.
"Sruuut...Sruuutt....Sruuutt"
Makhluk itu bercangkung macam katak dengan kedua tapak tangan memegang kepala
lutut.
"Sruuut...Sruuutt....Sruuutt"
Rohani memejam kelopak mata seerat-eratnya. Penglihatannya gelap tapi bunyi
sedutan itu masih jelas kedengaran. Rohani tak percaya dengan hantu tapi dia
tak dapat elak dari rasa takut. Jantung berdegup laju. Nafas turun naik.
Bunyi sedutan hilang tapi Rohani masih tak berani nak bergerak. Peluh di
belakang dah menitik-nitik.
Menangis Rohani apabila ada bunyi nafas betul-betul depan mukanya.
Berselang-seli dengan bunyi berdehem, mengigil Rohani apabila dia dapat rasa
hembusan nafas di kulit wajahnya.
Rohani tak sedarkan diri. Dia bangun pun setelah dikejutkan Ecah berkali-kali
tapi dia bila cuba buka mata rasa berat sangat dan kepala berdenyut-denyut.
Kelopak mata berbahang dan tubuhnya mengigil.
Rohani demam panas pagi itu.
Sementara menunggu dibawa ke klinik, Rohani terpaksa
bersendirian di dorm. Semasa ditemani Ecah yang membawa sarapan untuknya, berat
sahaja hati Rohani untuk membenarkan rakan baiknya itu pergi ke kelas, kalau
boleh dia nak Ecah cuti satu hari menemaninya di dorm.
Menurut kata Ecah tadi, dia akan dibawa ke klinik pukul 11 pagi nanti. Kepala
berat, kelopak mata berbahang dan tubuhnya mengigil. Rohani mengerekot sambil
menyelubung tubuh dengan selimut.
Perlahan dibuka mata sebaik terdengar tapak kaki di koridor luar dorm. Seorang
pelajar senior yang sudah lupa namanya dan pembantu warden memasuki ruang dorm
13 dan menuju ke arah Rohani.
Tetapi langkah mereka terhenti secara tiba-tiba, terpaku melihat luar tingkap
belakang Rohani.
"Siapa tu?" Tanya pelajar senior
Pembantu warden tidak menjawab. Matanya tidak berkelip lihat sesuatu yang jelas
sedang berada di kawasan padang.
"Boleh bangun?" Tanya senior pada Rohani tergesa-gesa dan riak wajah
cemas.
"Errr..." Apa punya soalan lah kata Rohani dalam hati. Kalau larat
bangun dah lama dia bangun. Ini nak angkat kepala pun seksa.
Tengah terkial-kial cuba bangun, Rohani terus dipapah berdiri oleh dua orang
itu. Tak sempat nak pakai bra, nak sarung seluar dah di seret keluar dorm.
Bengang lah si Rohani, dah lah tengah sakit kena pula diheret-heret
begitu.
"Awak pakai macam ni je pergi klinik takpe ye" Kata senior pada
Rohani.
Eh eh, ada pula selekeh bangun tidur begitu mahu dibawa ke klinik. Kalau tak
kerana badannya terasa longlai yang amat dah lama dia mencarut. Senior tak
senior, dia peduli apa. Macam tak nak tolong sahaja, dia pun tak minta tolong
dua orang itu menguruskan dia ke klinik.
"Ya Allah, siapa tu Kak Wan?" Cemas suara senior bertanya pada
pembantu warden.
"Dah dah jangan tegur" Balas pembantu warden dengan tegas.
"Kak saye tak nak lah pakai macam ni pergi klinik. Malu lah" Keluh
Rohani.
"Kita ke dorm akak, awak pakai akak punya dulu" Balas senior kepada
kerisauan Rohani.
Blok B terletak di antara Blok C dan Dewan Makan. Kata Rohani, masa itu hati
dia memang tengah panas membara. Kejap pergi klinik, kejap pergi blok B, dengan
sendi-sendi sakit, kepala berdenyutnya lagi. Tiba di dorm blok B, Rohani
disuruh baring dulu di katil milik senior. Tanpa segan-silu, selamba aja dia
menarik selimut yang telah diperkemaskan menutupi tubuh.
Disebalik merintih demam itu, Rohani perasan senior kelihatan panik dengan
nafas turun naik dan ditenangkan oleh pembantu warden yang beria-ria menyuruh
senior tersebut duduk di tilam.
"Jangan fikir bukan-bukan"
"Siapa dua orang tu tadi? Itu orang kan? Siapa orang hitam tu? Kenapa
merangkak macam tu? Saye takutlah Kak Wan, Takut!" Bertalu-talu soalan
kepada Kak Wan, pembantu kepada Ustazah Fauziah.
Kak Wan tidak menjawab pertanyaan tapi cuma suruh bertenang dan jangan banyak
tanya. Tangannya mengurut-ngurut bahu senior yang terkesan dari apa yang
dilihat sebentar tadi.
Rohani dibawa ke klinik ditemani Kak Wan. Dipendekkan cerita, Rohani dirujuk ke
hospital besar dan dimasukkan ke dalam wad kerana disyaki denggi. Tiga hari
kemudian dia dibenarkan keluar setelah disahkan cuma demam biasa. Sekembalinya
ke asrama, Rohani mendapati suasana Aspuri suram. Selalunya mesti ada ketawa,
berbual, radio dan sebagainya, ini macam di penjara pula, bukanlah Rohani cuba
kata yang dia pernah masuk penjara tapi nak menggambarkan suasana Aspuri ketika
itu ibarat berubah 180 darjah dari sebelumnya.
Dia pulang ketika semua lagi bersiap mahu prep petang. Agak terkilan apabila
kepulangannya tidak disambut oleh teman-teman. Waktu dia masuk dorm, Ecah yang
ketika itu sedang membetulkan tudung cuma berkata "Eh balik dah Kak
Long?"
'Eh balik dah Kak Long? Itu je?' Pertanyaan acuh tak acuh Ecah diulang dalam
hati Rohani.
"Eh tak lah, aku balek nak ambil barang lagi, sambung tidur kat spital
lagi setahun!" Sindir Rohani dengan muka masam. Sudahlah sepanjang di
hospital tiada seorang teman pun datang melawat. Teman-teman kampung yang duduk
jauh itu pun sanggup datang. Dia menuju ke locker untuk memasukkan
barang-barang dan tidak mempedulikan lain-lain. Kata Rohani, masa itu mata dia
agak berkaca-kaca lah juga. Se tomboy-tomboy Rohani, dia agak sensitif soal
hati dan perasaan ini.
"Kak Long" Suara Ain kedengaran dari belakang Rohani.
"Ha amende!" Sebaik Rohani berputar, dia melihat Ain, Ecah, Ida, Siti
dan Lin dengan wajah sugul. Ada yang sampai bengkak-bengkak mata.
"Sorrylah kitaorang tak lawat kau, bukan tak nak lawat tapi kitaorang tak
dibenarkan" Jelas Ida dengan mata bengkak seperti baru lepas menangis.
Dari kemuraman wajah mereka, ini bukan kerana kecewa tak lawat Rohani di
hospital tetapi ada perkara lain yang terjadi ketika dia di hospital.
"Korang ni kenapa?" Tanya Rohani.
"Kau siap lah dulu pergi prep" Kata Ecah dalam suara sedih.
Rohani bersiap lebih kurang. Walaupun dia tak diwajibkan ke prep hari itu
tetapi hampir seminggu bersendirian di hospital, dia tak sanggup nak melepak
sorang-sorang dah. Ketika keluar dari dorm dia perasan katil Aminah dah kosong,
kosong maksudnya tak bertilam. Dia sempat melirik ke arah locker Aminah yang
tertutup tetapi tidak bermangga.
Suara dari PA tegas mengarahkan penghuni asrama baik Aspura dan Aspuri untuk
mengosongkan dorm masing-masing sebelum pukul 2:30 tengahari. Pelik, kata Rohani
dalam hati. Sebelum ini tak pernah pun sampai ada arahan di PA untuk pergi
prep. Lagi bertambah pelik apabila semua beria-ria keluar meninggalkan asrama
untuk ke kelas. Apa yang seronok sangat prep sampai berebut-rebut nak keluar
pintu Aspuri?
Dalam perjalanan ke kelas, semua senyap sahaja. Tiada gurau senda dan hilai
tawa. Kata Rohani, dia terasa seperti berjalan sendirian di lautan manusia yang
sedang berarak di koridor menuju ke kelas. Hening.
"Ecah, baik kau bagitau aku apa cerite asrama kite tu selama aku
takde" Kata Rohani sebaik tiba di kelas.
Ecah gusar. Dia lihat kiri dan kanan.
"Aku..aku tak tau la nak cerite camana Kak Long"
Aihh, ada yang kena tempeleng kejap lagi ni, fikir Rohani yang mula panas hati.
Sambil merenung tepat ke anak mata Ecah berwarna coklat itu, Rohani dalam suara
tegas berkata;
"Ecah, baik kau cerite" Penumpuk Rohani dah berkepal menandakan kalau
masih berdolak-dalik, mungkin akan singgah ke pipi putih kemerahan si Ecah;
Rakan-rakan Rohani hanya dimaklumkan mengenai statusnya sebaik mereka tiba di
dorm dari Dewan Makan pada hari Rohani dibawa ke klinik. Mereka sepakatlah
untuk berjumpa Ustazah Fauziah meminta kebenaran melawat Rohani di hospital
selepas prep petang. Ketika tengah bersiap untuk prep, dua wanita berketurunan
India Muslim beserta Kak Wan masuk ke dorm 13 dan mengosongkan locker Aminah.
Kata Ecah, kedua wanita yang kemungkinan besar ahli keluarga Aminah, bergegas
mengosongkan locker. Kotak biskut, toilettries ditinggalkan, cuma baju-baju di
ambil itu pun longgok atas telekung kemudian ikat pikul sebelum tergopoh-gopoh
keluar.
"Aminah dah tukar sekolah lain" Jelas Kak Wan ringkas sebaik ditanya
Ecah dan rakan-rakan. Agak mengejutkan tetapi tidak hairan jika Aminah
bertindak sedemikian selepas kejadian malam tadi. Lagipun Aminah seperti kekok
dengan kehidupan asrama dimana dia lebih banyak menghabiskan masa bersendirian
dan sering menangis.
Rutin berjalan seperti biasa dan mereka membuat hal sendiri ketika prep
berlangsung. Ketenangan tengahari yang panas digemparkan dengan lolongan dari
kelas Tingkatan 5. Bunyi meja dihempas sana-sini menambah kepada kegemparan
tersebut. Tak lama untuk semua warga sekolah bergegas ke arah jeritan untuk
mengetahui apa yang terjadi.
Dari lolongan seperti anjing, bertukar jadi mengilai dan kemudian
menjerit-jerit. Pelajar-pelajar senior lelaki bertempik menyuruh para junior
untuk kembali ke kelas.Kata Ecah, situasi memang serius sehingga sesi prep hari
itu di batalkan dan semua warga asrama dikehendaki pulang ke dorm, menyambung
prep di sana. Apa lagi, seronok lah semua orang. Kalau dah 'prep' di dorm,
memang tak ada maknanya nak 'sambung prep'. Sambung tidur adalah.
Girang semua pulang ke dorm yang ketika itu tak sampai pukul 3 petang pun.
Hiruk-pikuk jeritan di kelas Tingkatan 5 tidak lagi diperdulikan. Lantaklah nak
meraung ke, mengilai ke, whoever that is, thank you seloroh semua junior.
Keadaan di Aspuri meriah. Kata Rohani, jangan ingat budak lelaki aja jenis
memekak tak terkawal, orang perempuan pun sama. Lagi-lagi dengan ketiadaan
seorang pun pelajar senior, warden dan pembantunya, lagi naik tocanglah
semua.
Tapi kejap sahaja lah. Lepas itu hingar-bingar Aspuri reda lepas semua mula
ambil kesempatan untuk tidur. Ini termasuklah penghuni dorm 13. Kata Rohani, tengah
syok tidur, mereka dikejutkan apabila pintu dibuka kasar oleh geng Kelantan
yang tak pernah duduk dorm itu. Mereka semua bersidai di tingkap. Hairan dengan
perlakuan mereka, Ecah dan lain-lain pun turut serta.
Di tangga batu, ada beberapa guru sedang berkumpul, di atas dan di bawah. Semua
memakai baju dan seluar putih. Bahang tengahari dengan matahari tegak atas
kepala seolah tidak memberi kesan kepada mereka untuk berjemur disitu. Di
tangga kelihatan seorang perempuan dalam keadaan tak terurus, dipapah Ustazah
Fauziah dan seorang lagi ustazah sekolah perlahan-lahan menaiki tangga kemudian
turun semula dari hujung ke hujung anak tangga. Kegiatan aneh itu diulang
hampir 10 kali. Selepas itu perempuan dipapah tadi ditinggalkan di tengah
tangga. Guru-guru lain menjauhkan diri dari tangga, seperti menunggu sesuatu.
Beberapa ketika kemudian, sepasang lelaki dan perempuan muda, tak tahu dari
mana datangnya, tiba-tiba muncul menaiki tangga. Pasangan itu membongkok lalu
memeluk perempuan di tangga dan menghayun tubuh kiri dan kanan. Masa itu kata
Ecah, semua tingkap sisip di Blok C penuh dengan penonton tapi tak ada seorang
pun berani bersuara.
Ketika sedang berhayun-hayun itu, salah seorang dari guru dengan berhati-hati
menghampiri dan meletakkan dua pinggan nasi di anak tangga. Sebelum letak
pinggan-pinggan, guru itu siap macam menyembah duli. Ini disusuli oleh
guru-guru lain yang meletakkan piring lauk, buah, sepasang kelengkapan baju di
letak atas dulang dan macam-macam lagi sampai penuh anak-anak tangga bawah
dengan pinggan, piring dan dulang. Setiap dari mereka yang memberikan barangan
tersebut akan menyembah duli dulu.
"KEPADA PARA PELAJAR ASPURI SAHAJA, SEMUA DIKEHENDAKI BERKUMPUL DI DEWAN
MAKAN SEKARANG INI JUGA" Suara wanita di PA tidak diendahkan. Selepas ahli
jawatankuasa Aspuri terpaksa pergi ke setiap dorm Blok C menengking suruh turun
ke Dewan Makan barulah terhegeh-hegeh semuanya.
Hampir dua jam menunggu, Ustazah Fauziah masuk ke dalam Dewan Makan. Seperti
biasa warden yang terkenal dengan wajah bengis itu memaki-hamun semua pelajar
junior. Tak tahu kenapa, adakah sebab menyaksikan kejadian pelik di tangga
belakang Aspuri sebentar tadi? Kalau gara-gara itu, tak adil lah nak
marah-marah begitu.
"Siapa yang tengah period sekarang angkat tangan" Tiba-tiba Ustazah
Fauziah bertanya soalan pelik di sebalik situasi yang udah sedia pelik.
Semua junior berpandangan antara satu sama lain. Apa kes pula ini nak tau siapa
tengah period bagai? Memanglah semua perempuan tapi agak peribadi juga nak
maklumkan ke semua orang tengah datang haid.
Sudah tentulah tiada siapa yang angkat tangan.
"SEKALI LAGI SAYA TANYA SIAPA YANG TENGAH HAID ANGKAT TANGAN. KALAU TAKDE
SIAPA NAK MENGAKU, SEMUA KENA KURUNG KAT DEWAN MAKAN SAMPAI ADA YANG
MENGAKU!!!"
Seorang demi seorang angkat tangan.
"BANGUN DAN IKUT KETUA ASPURI"
Mereka yang tengah period dikumpulkan dan di bawa ke Blok B. Ini termasuklah
Ain dan Siti.
Bisikan memenuhi ruang Dewan Makan.
"DIAMMM!!!" Jerit Ustazah Fauziah sambil menolak periuk besi besar
kosong di atas meja sebelahnya jatuh berdentum ke lantai.
Warden meluru keluar sebaik Dewan Makan menjadi hening. Kata Ecah, ada yang
mula menangis. Azan berkumandang menandakan sudah masuk waktu Asar. Mereka
dibenarkan pulang ke dorm masing-masing, bersiap untuk solat. Sebelum itu ketua
Aspuri membuat pengumuman, mulai hari ini, semua waktu solat diwajibkan
berjemaah di surau. Kalau tengah period, kena tunggu di Dewan Makan. Tidak ada
sesiapa dibenarkan melepak di dorm melainkan untuk pulang salin pakaian, mandi
dan tidur. Waktu mandi dan menggunakan tandas pun hanya dibenarkan untuk waktu
sekian-sekian. Kalau ada sesiapa tengah malam nak memerut ke apa, tahanlah atau
gunakan baldi. Sesiapa yang melanggar peraturan akan diambil tindakan keras.
what the...
Dewan Makan kembali gamat dengan ketidakpuasan hati. Ini dah macam duduk
penjara pula. Mungkin duduk penjara pun tak separah ini
peraturannya. Disebabkan semua masih budak-budak lagi, ikut aja lah arahan
yang diberikan.
Sejak dari petang itu, kemeriahan Aspuri mula berkurangan. Malam itu semua
junior diarahkan pergi prep tapi di dewan sekolah. Memang tak ada mood lah
semua terpaksa buat kerja sekolah bersila atas lantai berhabuk. Tepat pukul 10
malam, ahli jawatan kuasa asrama dah bertempik suruh beredar ke Dewan Makan
untuk minum malam. Semua bengang kerana kena arah-arah begitu. Apa, ingat semua
ini budak-budak ke. Mentang-mentanglah awal 90an, tak ada smartphone lagi,
kalau tak memang dah viral kejadian di sekolah itu.
Sudahlah gerak-geri mereka dipantau dan dikawal, nak pakai telefon awam
menghubungi keluarga pun tak dibenarkan. Siap gagang telefon dicabutkan. Kalau
sesiapa ada kecemasan sahaja dibenarkan menggunakan telefon, itu pun telefon
pejabat sekolah.
Cerita Ecah lagi, malam itu ada lagi yang terjerit-jerit, tapi bukan di kelas
tapi di Blok B Aspuri. Para senior dah bertempik bagi arahan jangan ada sesiapa
pun cuba busybody bertenggek di luar dorm. Makanya terbaring lah mereka semua
atas katil masing-masing tak boleh tidur sehingga histeria senior tersebut
selesai sekitar pukul 2 pagi.
Semenjak kejadian itu juga, mereka tak dibenarkan menggunakan ampaian belakang
Blok C untuk sidai baju. Sidailah kat mana-mana asalkan bukan belakang blok.
Masuk hari kedua, tak ada kejadian aneh tapi peraturan ketat masih berjalan.
Ecah ada tanya Ain, apa dia kena buat lepas kena panggil pasal period itu. Kata
Ain, mereka diminta ganti tuala yang dah berdarah dengan yang baru dan kumpul
dalam satu plastik besar warna kuning. Tak tahu nak buat apa dengan benda kotor
itu.
Masuk hari ketiga, ramai warga junior Aspuri mula merasa impak peraturan baru
yang ketat. Memang meletihkan gara-gara tidak mendapat rehat secukupnya. Itu
yang semua murung sahaja sebaik Rohani pulang ke asrama.
Rohani terkejut mendengar cerita Ecah tapi dia agak lega apabila mengetahui
bahawa penampakan pasangan misteri di tangga adalah benar. Mahu sahaja dia
ungkit soal hari pertama di asrama yang dia nampak pasangan tangga ke Ecah
tetapi dipendamkan saja sebaik melihat keletihan yang terpancar di wajah
temannya itu.
Cuma ada satu sahaja yang masih menjadi rahsia peribadi Rohani, makhluk hitam
yang dia nampak dan bersemuka semasa hari terakhir orientasi dan malam Aminah
buat hal.
Teringat pada Aminah, Rohani bertanya mana pergi ahli dorm nya itu.
"Aminah dah tukar sekolah" Jawab Ecah pendek. Rohani ingatkan adalah
penjelasan terperinci tentang perpindahan Aminah tapi cuma itu sahaja jawapan
diterima.
Penerangan Ecah yang panjang lebar bersambung hingga ke prep malam dan Rohani
hanya sedar bila loceng elektrik berbunyi menandakan prep malam sudah
tamat. Kalau sebelum ini, agak meriah warga asrama beransur pulang ke dorm,
tapi kali ini tepat berakhirnya loceng, semua bangun dan meninggalkan kelas
serta-merta. Macam ada latihan kebakaran pula. Seperti siang tadi, koridor
menuju ke Dewan Makan padat dengan pelajar tapi tak ada satu suara pun
kedengaran, hanya derapan tapak kasut memenuhi suasana malam.
Susulan dari perintah berkurung, ada yang skipped minum malam untuk menggunakan
tandas. Blok C ada tiga tingkat dan setiap tingkat ada satu bilik air/mandi di
hujung tingkat. Satu tingkat ada 6 dorm, setiap dorm ada 12 orang. Jadi setiap
malam ada 36 orang nak guna bilik air setiap tingkat yang hanya diperuntukkan
untuk 10 orang dalam satu masa. Sebelum ini boleh lah ambil giliran tapi kalau
sekarang ini hanya ada 30 minit sahaja, lepas itu perintah berkurung, memang
berebutlah. Bila dah terdesak macam itu, tahap kebersihan mulalah jatuh. Itu
yang ada masa, setakat nak buang air kecil, tanpa segan-silu ada yang selamba
bercangkung di longkang, tak kisahlah senior atau junior.
Keadaan berterusan hingga masuk bulan kedua. Kata Rohani, semangat warga asrama
dah betul-betul jatuh ketika itu. Sesi outing pun ramai yang tak keluar, kalau
tak ada keluarga datang melawat, mereka menghabiskan masa tidur sahaja.
Hubungan dia dan teman-teman pula semakin pudar. Siti dan Lin pindah semula ke
sekolah lama mereka manakala Ida dapat kebenaran khas untuk menjadi 'pelajar
luar' dimana dia dibenarkan untuk tinggal di luar dan hanya datang ketika sesi
persekolahan. Kira nasib baiklah kerana Ida ada saudara tinggal berdekatan dan
ada juga dia tawar ke Rohani dan yang lain tapi apa pula kata saudaranya nanti
beramai-ramai menumpang. Akhirnya tinggallah Rohani, Ecah dan Ain dalam dorm
13. Lima lagi ahli dorm lebih sanggup ambil risiko bermalam di dorm teman
mereka dan hanya pulang ketika ada spotcheck dilakukan.
Memandangkan banyak katil kosong, mereka bertiga mencantum tiga katil double
decker supaya boleh tidur bersama. Kata Rohani, mereka menghuni katil bawah dan
dah macam kubu mereka 'hias' dengan cadar dijadikan dinding meliputi sekeliling
bukaan dan hanya satu 'pintu'. Disitulah mereka menghabiskan masa berborak
sebelum tidur dan sebagainya. Walaupun merindui Ida, Siti dan Lin, Rohani dan
yang lain menghargai persahabatan yang ada dan mereka menjadi bertambah erat.
Pada satu malam Jumaat, warga asrama dibenarkan pulang awal dari prep untuk
berkemas kerana besoknya, selepas tamat persekolahan, mereka dibenarkan pulang
ke kampung. Guruh dan angin kuat mula 'bekerja' dari waktu prep lagi.
Seronoklah semua kerana malam itu sedap tidur dalam hujan. Rohani, Ecah dan Ain
berkumpul dalam kubu mereka sebaik lampu dimatikan. Malam itu juga, geng
Kelantan pulang bermalam di dorm 13.
Kata Rohani malam itu, aktiviti berborak sampai terbongkang berakhir awal
kerana Ain dan Ecah tiba-tiba rasa mengantuk teramat sangat. Nak tak nak,
Rohani pun tidur awal juga. Tak susah untuk dia terlelap dalam dingin ribut
petir itu.
Tubuhnya bergegar. Sayup-sayup terdengar namanya dipanggil.Terpisat-pisat
Rohani membuka mata mendapati Mimi, salah seorang dari geng Kelantan
mengejutnya bangun.
"Apebende ni Mimi?" Tanya Rohani yang masih mau menyambung tidur.
"Tolong lah aku Rohani" Pujuk Mimi yang masih cuba menghalang cubaan
tidurnya.
"Temanlah aku pergi toilet, yang lain aku cuba kejut tak bangun. Tolonglah
Rohani, please, please. Aku dah tak tahan ni" Kalau tak kerana dia pun ada
terasa nak kencing, memang pergi matilah dia nak temankan Mimi. Dia tak sanggup
nak buat macam orang lain yang kencing dalam baldi atau yang dorm tingkat bawah,
kencing di longkang. Jangan kata kencing dalam baldi, buang air besar dalam
baldi pun ada. Rohani tak sampai tahap macam itu lagi. Baginya kehormatan
wanita harus dijaga dan walaupun Mimi itu bukanlah dia suka sangat pun, tak
sanggup dia nak biarkan kalau dia buang dalam baldi pula nanti.
Mereka berdua curi-curi keluar dorm menuju ke bilik air di hujung tingkat. Nak
buka lampu takut tertangkap pula, jadi terpaksalah mengharap cahaya bulan untuk
melakukan pelaburan.
Selesai melabur, Rohani dan Mimi terbongkok-bongkok di sebalik tembok koridor
pulang ke dorm. Sempat jugalah Rohani bertanya, siapa sahaja yang dia kejutkan
untuk temankan pergi bilik air?
Mimi cakap kalaulah ada di antara kawan geng Kelantannya bangun, tak adalah dia
nak ganggu Rohani tidur. Jangan kata kawan-kawannya, Ecah dan Ain yang dia cuba
kejutkan pun tidur macam orang mati. Sebab itu Rohani jadi mangsa. Ditanya juga
kenapa malam ini tidur dalam dorm? Bukan selalunya tidur kat dorm kawan-kawan
dia ke?
"Malam ni semua tiba-tiba berpakat nak tidur awal atas katil
masing-masing, ngantuk sangat katenye" Balas Mimi.
Rohani teringat akan sesuatu janggal.
"Mimi, tadi kau minum malam tak?" Tanya Rohani sebaik mereka selamat
menyelinap masuk ke dalam dorm.
"Tak sempat, aku banyak minum air fanta prep tadi, itu yang asyik
terkencing je ni"
Rohani pun sama. Dia tak minum malam sebab dah jadi amalan tak singgah Dewan
Makan lepas prep malam sebab tak nak bersesak guna bilik air sebelum tidur.
Baru nak tanya lagi, Bunyi seperti berdengung kedengaran di luar dari arah
padang. Kedua ahli dorm 13 sekali lagi terbongkok-bongkok di lantai dorm 13 dan
meninjau dari tingkap.
Sekumpulan orang berkumpul di tepi tangga batu. Ada yang tunggu di atas dan ada
tunggu di bawah, macam nak menyambut seseorang. Bila diamati bunyi dengung itu
hasil dari gabungan dengungan suara manusia.
Cahaya dari lampu kereta-kereta cukup terang untuk Rohani
melihat jelas kawasan tangga dari tingkap dorm. Rohani cam beberapa wajah
seperti Cikgu Yazrin, Guru Penolong Kanan, Ustazah Fauziah, Cikgu Maliki; Guru
Pendidikan Jasmani Tingkatan 5, Cikgu Atan; Guru Matematiknya, Ustaz Ali; Guru
Agama Tingkatan 5 dan yang lain tidak dikenali.
Rohani kira adalah 10 orang mengerumuni anak tangga depan longkang di padang.
Di anak tangga ada dua orang sedang duduk berpelukan. Dia cuma lihat dari
belakang badan tapi cukup untuk memberitahu Rohani bahawa itu adalah pasangan
misteri yang dah beberapa kali muncul di tangga tersebut. Ustaz Ali kelihatan
sedang berbicara dengan pasangan manakala yang lain hanya mendiamkan diri di
belakangnya.
Seorang lelaki berjalan ke arah pasangan memegang guni. Guni dihulur pada
pasangan tapi apa yang mengejutkan apabila ada tangan hitam muncul di antara
bahu si lelaki dan perempuan, menyambut guni. Seperti ada ruang di antara bahu
pasangan, lembaga hitam keluar dan bertenggek di depan pasangan.
Bukaan guni tak berikat di buka oleh lembaga hitam lalu membenamkan kepala ke
dalamnya.
"Rohani, apa benda ni? Takut gila wehh!" Bisik Mimi.
Tak semena-mena, lembaga hitam itu bingkas bangun dan berpaling ke belakang.
Rohani sempat melihat dua mata bersinar melihat ke arah dia dan Mimi disusuli
oleh mereka yang ada di tangga, kecuali pasangan misteri yang masih duduk di
anak tangga membelakanginya.
Sepantas kilat Rohani dan Mimi menyorok di sebalik dinding dorm. Mimi dah
terketar-ketar ketakutan dengan air mata bercucuran.
"Masuk tidur! Masuk tidur!" Bisik Rohani keras pada Mimi.
Rohani masuk ke dalam kubu katil, diikuti Mimi.
"Kau buat ape ni! Pergilah tidur kat katil kau!"
"Kau gila? Tak sanggup aku. Aku tak kira, aku nak ikut tidur dengan
korang" Balas Mimi.
Apa lagi berhimpit-himpit lah Rohani dengan Mimi di antara Ecah dan Ain yang
masih nyenyak tidur walaupun diasak-asak oleh dua orang itu.
Derapan tapak kaki menambah kepada kegentingan situasi, Rohani membenamkan
kepala di bawah bantal manakala Mimi sedaya-upaya memuatkan diri di antara Ain
dan Ecah.
"DUM!" Pintu dorm 12 dibuka menghempas dinding.
"Kau! Kau! Kau! Kau! KELUAR!" Jerit seorang lelaki. Rohani
mengeluarkan kepala dari bawah bantal, memasang telinga apa yang terjadi di
dorm sebelah. Tak tahulah siapa jadi mangsa, bunyi tapak tangan menampar pipi
nyaring kedengaran sehingga merinding Rohani dibuatnya.
Pintu dorm 13 dibuka. Rohani segera membenam semula kepala ke bawah bantal.
Tapak kaki pantas dan bunyi kain disentap kasar. Betis pedih dicubit dan bantal
yang menekap kepala tercampak.
Wajah ngeri Ustazah Fauziah muncul sebaik mata dibuka.
"BANGUN!!" Jerkah warden Aspuri.
Ahli dorm 13 diarah beratur tengah dorm. Dari hiruk-pikuk di luar, ternyata
spot check sedang dilakukan tapi tengah pagi buta? Tak pernah dibuat tapi
Rohani tahu ini mesti ada kaitan dengan apa yang dilihat tadi.
Ecah, Ain, Rohani dan Mimi ditampar se das seorang manakala lagi empat hanya
menundukkan kepala.
"SIAPA AJAR CANTUM-CANTUM KATIL HAH? INGAT BAPAK KAU PUNYA ASRAMA?"
Bibir muncung Ustazah Fauziah lancang memetir menyakitkan telinga dan
jiwa.
Mata merah menyala warden melihat seorang demi seorang. Tak ada siapa sanggup
bertentang dengan mata singa betina itu. Di sudut hati Rohani, dia terasa agak
lega kerana tak ada tanda-tanda skodengnya di kantoikan.
Empat orang penghuni dorm 12 berarak di koridor depan dorm sambil didampingi
oleh beberapa guru yang dikenalpasti terlibat dalam kejadian di tangga. Adakah
mereka juga menyaksikan kejadian sebentar tadi? Dan tertangkap?
Apa-apalah, asalkan bukan aku kata Rohani dalam hati.
Sekali lagi warga Aspuri diseksa. Mereka diarahkan berkumpul di Dewan Makan
tanpa sebarang sebab. Senior-senior dah mula maki-hamun menyalahkan junior.
Waktu nak balik kampung ini lah ada aja masalahnya.
Ramailah terlentok di meja makan sehingga azan Subuh. Solat dan kemudian
bersiap untuk sekolah. Kata Rohani pagi itu dia tak mandi pun. Dah tak ada
mood.
Waktu persekolahan terasa amat lama sekali. Tak ada satu benda pun yang melekat
di otak Rohani, semua masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Dah lah dengan
mengantuknya lagi. Loceng sekolah berbunyi menandakan tamatnya waktu
persekolahan.
Rohani dah memang siap untuk bergegas ke dorm, ambil beg pakaian yang dah siap
letak atas katil dan berambus ke perhentian bas. Tak hadap pun nak makan
tengahari, dia sanggup melantak roti krim 20 sen dulu dan tahan lapar sampai
rumah.
Dewan Makan sesak. Semua menunggu juadah hari Jumaat yang selalunya istimewa,
nasi tomato ayam masak merah. Rohani melewati barisan panjang warga asrama
setia dengan tray besi disisi. Pergi mampus! Getus Rohani sendirian.
Seperti dijangka, Aspuri masih lengang. Rohani mungkin satu-satunya manusia di
Aspuri ketika itu. Kejadian penampakan pasangan misteri di tangga dan lembaga
hitam bermain-main di minda. Digeleng-gelengkan kepala untuk menyahkan
imej-imej menyeramkan itu dari kepala. Dia dah janji pada dirinya - masuk dorm,
ganti baju kurung outing yang dah siap tergantung dalam locker, sumbat baju
sekolah dalam bag, angkat bag dan cabut tanpa tengok walau seinci pun ke arah
tingkap.
Tiba di dorm, Rohani bergegas membuat apa yang telah dirancang tetapi di kala
dia tengah menyumbat baju sekolah ke dalam bag, boleh pula dia tertengok ke
arah tingkap.
Itu dia, pasangan sejoli lagi romantis berada di tangga batu riang gembira melambai-lambai ke arah Rohani. Kali ini
memang dia yakin bahawa pasangan malaon memang melambai ke arahnya, siapa lagi
yang ada di Aspuri sekarang itu kalau bukan dia?
Entah macam mana, hati tiba-tiba rasa panas dan Rohani membalas lambaian dengan
isyarat jari tengah.
Kata Rohani, sebaik jari tengah dilayangkan, pasangan itu berhenti melambai,
senyuman berubah jadi wajah ketat dan dari jauh Rohani boleh terasa ketajaman
renungan pasangan tersebut padanya.
Tutup zip, angkut beg dan segera beredar keluar dari dorm 13. Blok C ada dua
tangga di hujung setiap tingkat berhadapan bilik air. Tatkala Rohani bergegas
turun tangga, dia lihat ke bawah untuk memastikan kakinya tak tersadung oleh
kain sarung sambil memegang rail tangga.
Nun di tingkat bawah, Rohani nampak ada orang sedang menaiki tangga. Diingatkan
adalah warga Aspuri yang pulang awal juga, jadi naluri semulajadinya membuatkan
dia menjengok di ruang tengah tangga.
Langkah terhenti apabila mendapati wajah lelaki dan wanita juga sedang
menjengok ke atas, melihat pada Rohani sambil tersenyum. Apa yang membuatkan
dia hampir pengsan adalah, pasangan itu tidak bergigi, cuma gusi merah
menayangkan bekas-bekas dimana gigi pernah tumbuh.
Putar badan, naik atas semula dan segera dia berlari menuju ke arah tangga di
hujung bertentangan. Waktu dia berlari sepanjang koridor tingkat tiga, air
matanya dah mula meleleh.
Berdentum-dentum rail besi tangga dek tangan Rohani yang pantas menuruni
tangga. Kali ini dia dah tak peduli, tergolek pun tergolek lah janji sampai
bawah.
Mungkin lagi empat atau lima anak tangga nak sampai bawah, Rohani terus
melompat sampai tercampak beg pakaian masuk ke Ruang TV. Boleh pula bag galas
POLO itu terputus talinya. Dasar bag pasar malam. Bag berbentuk silinder itu
berguling-guling hingga ke tengah ruangan.
Masuk Ruang TV, di luar tingkap, di sebalik ampaian, lembaga hitam dengan mulut
muncung seperti tenggiling berdiri di anak tangga batu betul-betul di
bertentangan dengan Rohani. Katanya lagi, muka makhluk itu bukan sebiji macam
dah, tapi memang wajah tenggiling tapi bertubuh manusia.
"WAARRRGHHH" Meraung Rohani di buatnya. Segera dia mencapai beg
pakaian dan berlari keluar Aspuri.
Masa terasa begitu cepat berlalu. Rasanya baru saja sampai
kampung kelmarin, sekarang dah hari Sabtu. Macam tak ada makna cuti seminggu
sebab kejap sangat. Bangun tidur hari Sabtu dah mula rasa blues.
Sepanjang di kampung, Rohani tak pernah mengadu pada keluarga tentang apa yang
terjadi di asrama. Dia tak nak mereka kecewa sebab semua tumpang bangga apabila
Rohani ditawarkan belajar di sekolah bagus. Peluang tinggal di asrama dan
bersekolah di sana adalah jalan keluar baginya untuk menjadi seorang yang berjaya.
Di kampung, sekolah yang ada setakat cukup syarat sahaja. Dengan masalah sosial
berleluasa, keluarga Rohani memang mengharapkan dia meneruskan pelajaran di
sekolah baru itu.
Lagi-lagi apabila setiap hari waktu di kampung, ramai jiran-jiran datang dan
setiap kali itulah atuk dan nenek tak menang mulut menjadikan dia sebagai 'cucu
trofi'. Dalam sejarah keluarga Rohani, belum ada yang sampai melanjutkan
pengajian ke universiti dan semua mengharapkan dia jadi orang pertama dalam
keluarga mempunyai ijazah.
Dia faham bukan niat atuk dan nenek nak riak, tapi sebagai anak yatim dengan
mak dah meninggal, ayah pula dalam penjara, Rohani sahajalah satu-satunya
harapan keluarga. Luruh hatinya setiap kali mendengar betapa bangga atuk dan
nenek gebang pada jiran 'kehebatan' cucu mereka diterima belajar di sekolah
bagus.
Mahu tak mahu, terpaksalah dia memendam rasa dan memberi senyuman palsu supaya
keluarganya tidak risau. Hari Ahad, hari terakhir di kampung sebelum pulang
dihabiskan bergembira bersama adik-adik. Walaupun di luar tampak
ceria dan gembira, dalam hati Allah aja yang tahu betapa terseksa jiwa tak nak
balik asrama.
Rohani dihantar oleh bapa saudara pulang ke asrama. Sayu hati melihat kereta
Datsun buruk Pak Ngah meninggalkan perkarangan sekolah.
Tiba di dorm, Rohani merasakan ada sesuatu yang tak kena. Ecah bersama dua
orang wanita, mungkin ahli keluarga sedang menyusun barang ke dalam dua bag
besar yang diletakkan atas tilam. Barangan dalam locker Ecah semakin
kosong.
Wajah Ecah muram.
"Ecah.." Tegur Rohani.
"Kak Long, aku nak bagitau kau something" Ecah menarik tangan Rohani
duduk di atas tilam sementara ahli keluarganya mengemas barangan Ecah.
"Aku..aku dapat MRSM la Kak Long" Jelas Ecah sambil tangan memegang
erat pergelangan tangan Rohani.
Rohani tersenyum kelat. Dia cuma mengangguk di sebalik usaha menahan dari
menangis. Sampai hati Ecah tinggalkan dia, sudah lah Siti dan Lin tinggalkan
mereka. Ida pun cuma tahan sebulan sahaja jadi 'outsider' sebelum berpindah ke
sekolah lain.
"Takde mendelah Cah, tahniah la ko dapat MRSM, hebat tu" Dengan
segala kudrat yang ada Rohani cuba berlagak cool. Terpancar kelegaan di wajah
Ecah dan terus memeluk-meluk Rohani.
Sebelum mengucapkan selamat tinggal, mereka bertukar nombor telefon dan
berjanji akan berhubungan sewaktu cuti sekolah. Rohani memberikan nombor
telefon Kedai Runcit Ah Yong pada Ecah. Nombor telefon kedai runcit di dimana
keluarganya sering membeli kelengkapan dapur memang diingati oleh semua ahli
keluarga Rohani kerana Ah Yong menawarkan penghantaran barang ke rumah. Tak
sanggup dia nak bagi nombor telefon kampung sebab dia tahu Ecah takkan
menghubunginya, kalau iya pun cuma bertahan untuk beberapa ketika. Rohani
menggumpal kertas diari tertulis nombor telefon rumah Ecah lalu dibuang ke
dalam tong sampah sebaik Ecah dan keluarga keluar dari dorm.
Dia tak benci pada Ecah tapi dia terkilan, terkilan seorang demi seorang teman
rapat pergi meninggalkannya. Apa-apa pun tak mengapalah, Ain kan masih ada.
Selesai solat Maghrib di surau, Rohani makin tak keruan. Ain masih tak
kelihatan batang hidungnya. Mungkin sangkut dalam jem agaknya, maklumlah Melaka
kan jauh.
Masuk dorm, dia melihat sayu katil Ecah yang hanya tinggal tilam tak bersarung.
Rohani berbaring atas katil. Pedih jiwanya masih tak surut. Sekurang-kurangnya
mulut lancang si Ain dapatlah menggembirakan hatinya yang lara.
Dia melihat katil-katil geng Kelantan yang cuma ada beg pakaian di atas tilam
masing-masing tapi tak bertuan, kemudian Rohani terperasan akan sesuatu dan
bingkas bangun.
Ada persamaan di antara katil Ecah dan Ain.
Kedua-duanya tak berbantal dan tilam tak bersarung.
Perlahan Rohani menuju ke locker Ain dan sebaik dibuka, dia terduduk di lantai,
tersengguk-sengguk menangis.
Rohani menangis semahu-mahunya di depan locker Ain yang tidak berkunci dan
kosong.
Malam itu dorm 13 cuma ada seorang penghuni sahaja.
Disebabkan terdapat ramai warga Aspuri pindah ke sekolah lain, rombakan
penempatan Aspuri meletakkan Rohani di dorm 8, tingkat 2 Blok C manakala
kesemua tingkat 3 Blok C dikosongkan. Sejak berpindah ke dorm baru, Rohani
lebih senang bersendirian. Bukanlah dia tak ada teman langsung, cuma dah tak
macam dulu yang kemana-mana berkepit dengan Ecah, Ida, Ain, Siti dan Lin. Pergi
Dewan Makan sendirian, pergi prep sendirian, bilik air sendirian dan di kelas
pun dia memilih duduk di meja paling belakang supaya tak perlu berpasangan.
Kejadian-kejadian aneh pun lama tak berlaku sampai Rohani dah tak kisah dengan
tangga batu tersebut. Lagipun katilnya menghadap koridor jadi memang tak hadap
langsung pemandangan belakang asrama.
Dua bulan sebelum para senior akan menghadapi peperiksaan SPM, rombakan sekali
lagi dilakukan dimana junior dan senior bertukar blok, junior masuk Blok B
manakala senior masuk Blok C. Ini untuk memudahkan pelajar Tingkatan 5
mengulangkaji pelajaran kerana Blok C merupakan bangunan baru dengan bilik dorm
lebih luas dan juga semua dorm tingkat 3 akan digunakan sebagai bilik study.
Para junior terpaksalah bersesak di Blok B yang cuma dua tingkat dan keluasan
dorm yang lebih kecil.
Pada suatu malam Jumaat, lagi seminggu sebelum semua junior bercuti akhir
tahun, Aspuri digemparkan dengan jeritan beberapa senior sekitar pukul 11:30
malam. Sebenarnya tak ada isu jerit menjerit di kalangan senior, konon-konon
released tension lah tapi jeritan kali ini beramai-ramai macam kena histeria.
Apa lagi, bersidai lah semua junior di tingkap. Oleh kerana kekecohan berlaku
di tingkat tiga, Rohani dan lain-lain tak nampak jelas apa yang sedang berlaku,
cuma nampak senior bertempiaran lari turun tangga.
Raungan dan teriakan senior-senior yang masih tinggal atau terperangkap(?)
semakin menjadi-jadi. Ustazah Fauziah dan pembantunya Kak Wan bergegas naik
tangga menuju ke tingkat tiga.
"AKU DAH CAKAP JANGAN KACAU! KAU NAK AKU ROBOH RUMAH KAU TU?!!" Jelas
kedengaran amaran keras Ustazah Fauziah di tingkat tiga.
Apa yang mengejutkan ialah apabila Ustazah Fauziah menyeret secara kasar seseorang
turun ke bawah. Kata Rohani, Ustazah Fauziah mengenggam ubun kepala orang itu
dan rambut menggerbangnya berjurai menutupi muka. Orang itu tak berpakaian dan
merangkak-rangkak sambil merayu minta dilepaskan.
Kak Wan pula sedang pegang satu balang kaca dengan bahagian atasnya hanya
dialas sehelai kain kuning. Dari gaya dia pegang dan turun tangga, macam pegang
bom yang boleh meletup bila-bila masa. Setapak demi setapak Kak Wan turun
sambil mata tepat melihat ke arah balang yang dipegang dengan kedua tangan.
Masa itu seluruh blok Aspuri kosong. Semua turun ke bawah untuk melihat
kejadian aneh dengan lebih dekat. Sebaik sampai di bawah, Rohani nampak Ustaz
Ali dan Cikgu Maliki dah siap dengan tali nylon hijau pekat, jenis yang dibuat
untuk menaikkan dan mengikat bendera waktu perhimpunan.
Di tangan Ustaz Ali pula ada guni plastik tebal berwarna putih. Tanpa membuang
masa, sebaik Ustazah Fauziah dan Kak Wan tiba di tingkat bawah, Ustaz Ali terus
selubung orang itu dengan guni. Cikgu Maliki pula segera mengikat bahagian atas
guni dan kemudian mengikat kain alas balang kaca sambil menegangkan kain
tersebut.
"DAH, DAH MASUK TIDUR!" Teriak Ustazah Fauziah. Kalau sebelum ini,
jegil aja mata dah macam lipas kudung semua berlari masuk dorm, tapi kali ini
cuma atas angin arahannya itu.
Nak dijadikan drama, tiba-tiba ada yang menggelupur jatuh ke tanah dan
berguling-guling macam kena sawan. Seorang demi seorang senior mula kena
histeria. Kata Rohani dekat nak 20 orang, memang kecoh habislah.
Warga Aspura dah mula bertenggek di pagar Aspuri untuk menyaksikan sarkis yang
sedang berlangsung. Tengah kelam-kabut, ada jeritan betul-betul di belakang
Rohani, menjangkit ke junior pula histeria.
Pada mulanya Rohani anggap ini semua drama untuk menarik perhatian, tetapi bila
terdengar setiap mereka yang kena histeria jerit perkara yang sama iaitu
"Jangan dekatkan lelaki dan perempuan itu!" Dia tahu histeria yang
melanda bukan dibuat-buat dan ada kena-mengena dengan penunggu tangga batu di
belakang sekolah.
Bunyi ketawa terkekek-kekek macam orang tua nyaring kedengaran dari dalam guni.
Ustaz Ali menendang-nendang guni tersebut sambil bertanya dengan keras
"Ini semua kerja kau kan?!?!"
Lagi ditendang, lagi kuat ketawanya.
Untuk mengelakkan lebih ramai kena histeria, semua diarahkan ke Dewan Makan.
Kata Rohani, punyalah panik waktu itu sampai pagar besi Aspuri rosak dirempuh.
Tangisan dan rungutan memenuhi ruang Dewan Makan. Tak kurang yang mula marah
memaki-hamun pengurusan sekolah kerana 'merosakkan' telefon awam luar Dewan
Makan sampai tak boleh nak telefon keluarga masing-masing. Ada juga sampai ugut
nak saman sekolah.
Kata Rohani, dalam diam dia seakan suka dengan huru-hara melanda asrama. Mungkin
terlalu lama bersendirian, kekecohan seperti ini sedikit sebanyak mengubah
rutin harian yang tak berubah-ubah. Mungkin juga ini membawa kembali kenangan
bersama rakan-rakan rapat seperti Ecah, Ain, Ida, Siti dan Lin sewaktu
awal-awal dahulu.
Sedang dia berangan buat hal sendiri, beberapa ahli dormnya menghampiri;
"Rohani, kau dulu dorm 13 kan?" Tanya salah seorang dari mereka.
Terpinga-pinga, Rohani mengiyakan pertanyaan tersebut.
"Kitaorang dengar cerita, senior nampak orang kat tangga batu belakang tu
masa study kat dorm lama kau"
"Okay..." Jawab Rohani acuh tak acuh.
Mereka berpandangan antara satu sama lain dan terus mendekati Rohani.
"Kitaorang nak pergi padang besar, tengok tangga batu tu" Bisik salah
seorang.
Itu mungkin idea paling bodoh pernah di dengarnya tapi tanpa bertanya kenapa
atau memikirkan akibatnya, Rohani terus berkata...
"JOM!"
Lima ahli dorm 8, termasuk Rohani menyelinap keluar dari Dewan Makan menuju ke
padang besar. Tak susah pun untuk mereka curi-curi keluar kerana semua warden,
termasuk Aspura dan Aspuri berserta pengawal keselamatan dikerahkan ke Aspuri.
Walaupun tiada kawalan, mereka tidak mengambil sebarang risiko dengan
berlenggang kangkung menuju ke padang besar. Seperti ninja, kelima-lima junior
mengambil masa mereka dengan bersembunyi di sebalik dinding, semak, tiang dan
sebagainya.
Hampir tertangkap Rohani dan yang lain apabila sebuah kereta memasuki padang
besar dari pintu pagar di bahagian selatan padang. Segera mereka bertiarap atas
rumput dan memerhatikan kereta tersebut melintas padang dan berhenti
berhampiran tangga batu.
Lampu kereta dibiarkan menyala menyuluh ke tangga batu. Beberapa orang keluar
dari perut kereta. Dari jauh susah nak mengenalpasti siapa tapi dari bentuk
badan, kelihatan semuanya adalah lelaki.
Salah seorang membawa beg kecil dan memasuki longkang untuk meletakkan beg
tersebut di anak tangga pertama. Segera dia keluar dari longkang dan mengambil
jarak selamat sebaik membuka zip beg.
Rohani tak perasan dari mana munculnya, tiba-tiba sepasang kekasih yang amat
dikenalinya turun dari tangga lalu duduk bersebelahan beg. Si perempuan
mengambil beg tersebut dan meletakkan atas peha dan kemudian pasangan misteri
itu menyelongkar isi beg.
Dari tingkah-laku mereka yang berada di sana, jelas menunjukkan bahawa
perbualan bersama pasangan misteri sedang berlaku. Disebabkan jarak agak jauh,
Rohani dan lain tidak dapat menangkap butiran perbualan, ditambah pula gema
raungan dan jeritan dari Blok C masih berlangsung.
Tidak berapa lama kemudian, makhluk hitam turun merangkak di tangga.
Orang-orang di padang mula menjarakkan diri menjauhi sebaik makhluk itu berada
di sebelah pasangan misteri.
Dari nafas rakan yang turun naik, Rohani tahu rakan-rakannya sedang ketakutan
yang amat sangat. Dia dah pernah bersemuka dengan pasangan misteri dan makhluk
itu jadi tak adalah terasa seriau sangat, itu pun peluh dingin menitik-nitik
jatuh ke batang hidung.
"Wei hantu ape yang hitam tu?" Ada pula mulut bacul pergi menegur.
Kata Rohani, sebaik teguran itu, makhluk hitam itu terus menoleh ke arah
mereka, menayangkan mata bersinar-sinar. Boleh pula ada yang bangun dan terus
lari. Mangkuk hayun betul. Dah semua orang pun kena lari juga.
Jeritan "Woi siapa tu!" mengiringi larian Rohani dan lain-lain. Dalam
hati, Rohani dah menyumpah-nyumpah. Apa hal lah bodoh sangat dia pergi setuju
nak ikut tadi.
Tengah kelam-kabut, Rohani tak tahu mana yang lain dah pergi. Tahu-tahu aja dia
dah bersendirian di koridor menuju ke bengkel kemahiran. Dah lah gelap. Nak
panggil rakan-rakan lain takut tertangkap pula.
Dalam dia sedang mencari arah ke Dewan Makan, terdengar suara perempuan di
hujung koridor.
"Kak Long..."
Ecah berdiri di tengah koridor sambil melambai-lambai ke
arah Rohani.
Dipejam mata rapat-rapat kemudian dibuka semula.
"Kak Long"
Ya Allah kata Rohani. Kalau tadi hanya Ecah, kini Ida, Ain, Siti dan Lin pula
tengah melambai-lambai ke arahnya.
Kata Rohani, tak tahu kenapa, dia seolah-olah terpana dengan kemunculan
kawan-kawan di depan mata. Tak terlintas dalam kepala kepelikan situasi
tersebut apatah lagi reaksi semulajadi yang sepatutnya menyuruh dia ambil
langkah seribu.
"Wei korang" Balas Rohani mesra. Dia berlari-lari anak menuju ke arah
mereka, makin dekat makin rancak ajakan teman-teman untuk menyertai mereka.
Agaknya Tuhan masih sayang kepadanya atau pun memang nasib dia baik, satu
jeritan mematikan langkah Rohani.
"JANGAN LARI!" Teriak seorang lelaki dari belakang.
Derapan tapak kaki menandakan orang berlari di lantai koridor tetapi seluruh
tubuh Rohani kaku, nak menoleh kepala pun tak boleh. Di depan, rakan-rakan
rapatnya panik menyuruh Rohani datang ke mereka.
"Cepat Rohani! Datang sini! Cepat!, Cepat!" Begitulah kata Ecah, Ida,
Ain, Siti dan Lin padanya. Dia mahu menyuruh rakan-rakan datang menolongnya
tetapi suara tersekat di kerongkong.
Satu rentapan di bahu kiri dan sepantas kilat tubuhnya melayang ke belakang.
Kata Rohani dia tercampak ke lantai dan mendapati dua orang lelaki sedang
berhadapan dengan rakan-rakannya.
Seorang wanita datang memapahnya bangun.
"Perlahan-lahan bangun, ada rasa sakit-sakit tak?" Tanya Kak Wan
dengan suara lembut. Risau kalau Rohani ada patah riuk ke sebab di tolak
sebentar tadi. Selain dari rasa kepenatan dari berlari sana-sini, tak ada rasa
sakit di mana-mana bahagian tubuhnya.
Semasa dibangunkan, sempat dia melihat ke hujung koridor. Terkejut Rohani
apabila mendapati makhluk hitam bermuka tenggiling berdiri di tempat dimana
rakan-rakannya berada sebentar tadi.
"Dah, jangan tengok, jangan tengok" Kata Kak Wan sambil memaksa
Rohani beredar dari koridor tersebut.
Dalam perjalanan menuju ke arah Dewan Makan, Rohani teragak-agak mahu bertanya
tentang nasib lagi 4 orang itu. Dia tak nak lah gara-gara bertanya nanti tak
pasal-pasal yang lain terheret sama.
"Kenape Rohani pergi ke padang besar tu?" Tanya Kak Wan.
"Errr.." Rohani masih tak terfikir apa jawapan paling selamat.
"Takpe, yang penting kamu tak apa-apa" Kata Kak Wan lagi.
Dah pembantu warden cakap begitu, Rohani lega. Tak perlu dia susah-payah cover
line orang lain. Ingatkan mereka kembali semula ke Dewan Makan tetapi Kak Wan
membawanya pergi ke arah Ruang Guru.
Masuk ke dalam pejabat guru, terdapat ramai guru-guru di dalam. Mereka hanya
memandang Rohani yang dibawa terus masuk ke dalam pejabat Pengetua. Dalam
pejabat tersebut dia diminta duduk di ruangan sofa yang dikhaskan untuk tetamu.
Kata Rohani, ketika itu ada Guru Besar, Guru Penolong Kanan, Guru Displin dan
lagi dua orang lelaki berserta seorang wanita yang tidak dikenali. Dia ditanya
tentang keadaannya sekali lagi dan diulang semula jawapan bahawa dia tak ada
apa-apa.
Tanpa memperkenalkan dirinya, wanita tak dikenali meminta Rohani menceritakan
dari awal, A to Z semua penampakan di asrama. Maka Rohani pun menceritakan
semua tanpa meninggalkan satu pun apa yang pernah dialami.
Selesai cerita, semua di dalam bilik berpandangan antara satu sama lain dan
kemudian mengangguk-angguk seperti ada satu kesefahaman di antara mereka.
"Rohani ada cerita ke siapa-siapa?"
"Tak.."Jawab Rohani pendek kepada pertanyaan wanita separuh abad
tetapi kelihatan seperti orang penting. Wanita itu kemudiannya bangkit dan
duduk di sebelah Rohani. Sewaktu wanita melabuhkan punggung, Rohani betul-betul
rasa tak selesa, seperti apa yang akan keluar dari mulut wanita itu akan
membuatkan dia dalam dilema.
Betul sangkaannya, wanita itu memujuk supaya Rohani melupakan segala penampakan
di asrama dan tidak memberitahu sesiapa pun. Kata Rohani apa yang membuatkan
darahnya berderau apabila dia dimaklumkan akan perkara ini;
"Kalau Rohani melanggar janji supaya merahsiakan perkara ini, saye tak
boleh jamin masa depan Rohani ye" Kata wanita itu sambil memegang
tangannya dengan erat.
Rohani mengangguk. Perasaan bercampur baur, marah, takut, sedih dan keliru
membuatkan dia tak mampu bersuara.
Ustaz Ali dan Ustazah Fauziah masuk ke dalam bilik Pengetua. Rohani disuruh
pergi ke Kak Wan yang sedang menunggu di luar. Sedang dia keluar dari bilik,
terdengar sedikit perbualan orang di dalam.
"Dah settle masalah si celaka itu?" Suara pengetua kedengaran sewaktu
Rohani di muka pintu.
"Dah Tuan Haji" Suara Ustaz Ali menjawab.
"Ini betul dah diuruskan lagi ke? Saye tak nak bende 3 tahun lepas jadi
balik..." Jelas pengetua lagi.
Kak Wan menyambut Rohani di ruang menunggu dan tanpa bertanya apa, dia dibawa
pulang semula ke Dewan Makan.
Keadaan masih huru-hara, beberapa pelajar yang terkena histeria dah dapat
ditenangkan dan dibawa naik van. Kak Wan menyediakan minuman teh susu dan
biskut kering yang disediakan pihak pengurusan asrama kepada mereka yang
tersangkut di Dewan Makan.
Rohani minta kebenaran untuk pulang ke kampung halaman selama beberapa hari
untuk menenangkan perasaan. Pihak sekolah juga tidak banyak soal dan meluluskan
'cuti' sehingga hujung minggu. Dia pulang ke kampung hari itu juga dan sewaktu
melangkah keluar dari pagar sekolah, Rohani nekad untuk tidak kembali lagi ke
sekolah tersebut.
Dipendekkan cerita, keluarga akhirnya akur dengan keputusan Rohani untuk
kembali bersekolah di kampung. Urusan pertukaran sekolah diuruskan oleh atuk
dan Pak Ngah. Meskipun terpaksa berdepan dengan kata-kata belakang jiran-jiran,
dia lagi sanggup menelan semua itu dari bermalam hatta satu hari pun di asrama
sekolah.
Sepuluh tahun kemudian, tahun 2003, Rohani diterima bekerja di JB sebagai guru,
bersesuaian dengan statusnya sebagai lulusan maktab perguruan. Pada satu hari,
dia menerima friend-request di MySpace. Alangkah terkejutnya apabila mendapati
Ida , bekas dormmate menghubunginya semula. Bermula dari bertukar cerita dan
sebagainya, mereka jadi rapat semula. Menurut Rohani, sepanjang dia bertemu
semula dengan Ida, tak pernah sekalipun pengalaman di asrama menjadi topik
perbualan walaupun bertalu-talu soalan dari Ida setelah mengetahui Rohani juga
meninggalkan sekolah tak lama selepas itu.
Mereka bertemu semula akhirnya ketika Rohani menjalani kursus di KL dan ketika
melepak itu entah macam mana Ida menawarkan Rohani untuk bermalam di rumah
saudara jika dia berminat untuk kembali melihat sekolah lama mereka. Tak pasti
samada Ida benar-benar serius atau saja bergurau, Rohani terus bersetuju.
Penghujung tahun 2004, Rohani tiba di depan sekolah lamanya. Nostalgia juga
melihat bangunan-bangunan yang masih ada cuma di cat baru. Terdapat beberapa
juga bangunan baru yang dibina. Rohani tahu dia tak mungkin akan dibenarkan
mundar-mandir di dalam kawasan sekolah kerana musim cuti sekolah waktu itu.
Tapi dia teringat bahawa padang besar di belakang sekolah ada pagar yang boleh
di akses dari luar kawasan sekolah.
Sebaik tiba di luar padang besar, didapati ada pagar dibina memisahkan padang
dan sempadan sekolah.Pagar selatan padang itu juga telah dirobohkan untuk
memudahkan ia digunakan oleh orang ramai. Padang tersebut telah dinaik taraf
dengan fasiliti-fasiliti senaman dan juga padang permainan moden. Trek jogging
juga telah dibina. Rohani tak buang masa untuk memasuki perkarangan padang dan
tujuannya cuma satu;
Melihat apa jadi dengan tangga batu di belakang asrama.
Bangunan Blok C sudah dirobohkan dan diganti dengan gelanggang serbaguna. Dari
jauh dia lihat Blok B masih wujud. Semakin hampir, tak pasal-pasal pula makin
berdebar-debar jantungnya.
Langkah Rohani terhenti di tepi longkang besar yang kini sudah dibina benteng
konkrit dan ditutupi krat besi. Terdapat astaka dibina berhampiran bekas tapak
Blok C dan dari keadaannya kelihatan ia baru digunakan untuk acara baru-baru
itu.
Itu semua tidak dipedulikan oleh Rohani kerana matanya hanya tertumpu pada satu
struktur yang masih utuh. Segala pengalaman ngeri yang dipendam bertahun-tahun
memancar keluar satu persatu.
Tangga batu itu masih wujud. Tidak berubah sedikitpun seperti apa yang
dilihatnya lebih dari 10 tahun dahulu. Cuma itu adalah kali pertama dia begitu
hampir dengan tangga itu setelah sekian lama.
Jiwanya membuak-buak menyuruh dia mengambil langkah menaiki anak tangga batu
tersebut. Mengenangkan dia dah datang jauh-jauh semata-mata mahu 'bersemuka'
dengan tangga itu, diteruskan niatnya.
Setapak demi setapak menaiki anak tangga, hingga tiba di anak tangga paling
atas. Ketakutan dalam hati bertukar lega dan berakhir dengan ketenangan apabila
tiada apa pun terjadi padanya. Dia berputar-putar melihat pemandangan dari
perspektif tangga, tiada apa yang menarik tetapi tetap menarik baginya kerana
pengalaman lampau berkaitan tangga batu itu.
Rohani duduk menopang dagu. Niatnya untuk menikmati beberapa minit mengenang
kembali memori zaman sekolah, walaupun tak lama tetapi kenangan bersama Ecah,
Ida, Ain, Siti dan Lin tetap diingat sampai bila-bila.
Dia tersenyum sendirian dan berdiri sambil menepuk-nepuk punggung menghilangkan
debu-debu. Dengan ceria Rohani menuruni anak tangga dan sebaik tiba di krat
besi, satu suara menegurnya dari puncak tangga.
"Eh dah nak balik dah?"
Rohani pantas menoleh ke belakang dan mendapati sepasang kekasih yang amat
dikenali wajah mereka saling berpelukan di anak tangga teratas melihat ke arah
Rohani. Mereka tersenyum, menayangkan gusi tidak bergigi...