Pondok Tol

PENULIS ASAL: dammerung
SUMBER : https://mforum.cari.com.my


Kegawatan ekonomi lewat 90an merupakan satu penyeksaan kepada Ali. Dari hari dia submit final year project, konvokesyen sampailah 4 bulan selepas itu, Ali masih gagal mendapat pekerjaan.

Mak ayah dah bising kerana lama sangat menganggur manakala abang dan kakak  tak habis-habis memerlinya, duit keluarga dah banyak habis nak menanggung pengajiannya di universiti tapi dah ada segulung ijazah masih menyusahkan mak bapak, sedangkan saudara-saudara tuanya yang bersekolah setakat tingkatan 3 itu sudah mampu memiliki kereta.

Ali mengaku bahawa dia memilih kerja. Sebagai pemegang ijazah sarjana muda dalam ekonomi, dia dah bertungkus-lumus, bersusah payah belajar di universiti, takkan nak kerja ambil order di kedai makan pula?

"Ni ha, tol baru bukak kat simpang tu nak pakai orang" Kata ayah Ali pada suatu hari selepas pulang dari pekan. Ali yang ketika itu tengah mengelamun memikirkan masa depan di pangkin rumah dihulur sekeping kertas iklan.

Ali melihat iklan tawaran, terpapar hebahan peluang menjadi jurutol di simpang keluar ke lebuhraya yang baru siap dibina awal bulan ini. Kata Ali, waktu itu highway utara-selatan baru beberapa tahun dibuka dan simpang berdekatan kampungnya menjadi salah satu exit.

Ali tertarik. Dengan bangunan putih silver, ditambah pula dengan cermin tinted berkilat, kompleks tol itu boleh lah dikatakan struktur paling canggih di kampung. Dengan ayat-ayat selling points seperti 'bekerja dalam persekitaran berhawa dingin' 'SOCSO' 'kemudahan perubatan' dan juga imej model pekerja beruniform hijau tertera perkataan PLUS yang tampak professional membuatkan Ali ambil keputusan untuk apply kerja sebagai jurutol sementara mendapat pekerjaan tetap.

Fast forward, Ali diterima bekerja sebagai jurutol. Di kompleks tol tersebut hanya ada empat pondok, dua masuk dan dua keluar. Walaupun terdapat empat pondok, tapi pada waktu itu hanya 2 pondok tol beroperasi pada satu-satu masa. Ini disebabkan ketika itu masih tak ramai jurutol, dan keempat-empat pondok hanya akan digunakan ketika musim perayaan atau musim cuti sekolah.

Oleh kerana tol beroperasi 24 jam, Ali dan rakan sejawat yang lain akan bekerja mengikut shift. Untuk tugasan pertama, Ali ditugaskan bekerja dalam graveyard shift untuk 1 minggu pertama.

Pukul 11:30 malam. Ali keluar dari office setelah punch-card dan menuju ke pondok nombor 4, iaitu tol untuk masuk ke jalan kampungnya dari highway. Partner nya malam itu ialah Salbiah. Walaupun ada teman sekerja tetapi Salbiah di pondok nombor 1 bersebelahan office manakala Ali nun di hujung menghadap hutan.

Kata Ali, dia merupakan jurutol pertama di situ yang mengoperasikan tol nombor 4 pada waktu malam. Shift sebelumnya menggunakan tol nombor 3 dan 2. Memang agak klaustrofobik duduk dalam pondok sempit seorang diri ditambah pula kesepian waktu malam, memang bosan gila.

Sejam pertama Ali steady lagi, masuk jam kedua dia dah mula tak senang duduk. Aircond betul-betul atas kepala membuatkan pundi kencingnya padat.

"Sal, Sal, Abang nak ke bilik air jap lah, cover untuk abang sat" Ali menghubungi teman sekerja menggunakan mikrofon interkom dalam pondok.

Tiada respon.

"Sal?" Ali cuba lagi.

Masih tiada respon. Dia keluar sebentar dari pondok dan cuba melihat ke pondok nombor 1. Cermin tinted hitam menghalang Ali dari melihat ke dalam pondok tapi nyalaan lampu menandakan pondok itu ada orang. Ali kembali ke pondoknya dan cuba menghubungi Salbiah sekali lagi.

"Sal, Salbiah, ada ke tak ni?"

Kali ini ada respon, tapi bukan seperti yang diharapkan.

Speaker berbunyi menandakan ada yang cuba menghubungi pondoknya melalui interkom. Apa yang peliknya, cuma bunyi statik yang keluar.

"Sal?"

"Ye bang"

Suara Salbiah yang begitu manja keluar dari corong speaker. Tergamam Ali dibuatnya, bukan sebab dia stim dengar suara seksi Salbiah tapi Ali seakan tak percaya apa yang didengarnya.

Salbiah berasal dari kampung sebelah dan Ali mengenali gadis lepasan SPM itu ketika training sebagai jurutol. Dari perkenalannya dengan teman-teman seangkatan, dia agak kenal rapat dengan semua batch membernya, dan Ali amat pasti apa yang keluar dari speaker itu bukan suara Salbiah.

Ali cuba tak fikir bukan-bukan, mungkin speaker itu membuatkan suara Salbiah jadi lain kot, walaupun lenggok suara pun memang amat berbeza dengan Salbiah yang dikenalinya.

"Err Sal, abang nak pergi toilet kejap ler, boleh ke tolong tengokkan pondok abang kejap?"

"Ye bang"

Berderau darah Ali mendengarnya. Macam suara bapok pun ada juga. Tapi pundi kencing yang dah macam nak meletop itu membuatkan Ali tak fikir banyak soal keanehan Salbiah. Dia segera berlari ke toilet terletak dalam kompoun office tol tersebut. Selesai urusan, Ali bergegas kembali ke pondok nombor 4 dan sempat dia menjeling ke arah pondok nombor 1.

Tak tahu kenapa hatinya membuak-buak nak menjenguk ke pondok nombor 1. Nak balik pondok cepat-cepat pun buat apa, bukannya ada kereta pun. Lagipun kejap je, dengan gaya suara Salbiah macam 'peramah', mungkin boleh beramas mesra dengannya. Mana lah tau boleh jadi lebih dari sekadar teman sekerja kerana Salbiah itu pun boleh tahan rupa parasnya.

Ali melewati laluan tol nombor 2 untuk menuju ke laluan pondok Salbiah. Niat di hati nak lalu ke sebelah pondok nombor 1, bergurau konon-konon jadi kereta nak ke highway.

Sampai di sebelah pondok, Ali lihat tingkap tertutup, cuma tempat hulur tangan itu aja yang terbuka. Dari cermin tinted, Ali masih nampak bentuk orang di dalam dari lampu neon dalam pondok.

"Cik, Cik saye nak tiket tol" Gurau Ali sambil menghulurkan tangan ke arah bukaan pondok tol.

Senyap.

Mula-mula dia termalu sendirian apabila lawak bodohnya tak dilayan, tapi bila dah tengok bayang-bayang Salbiah kat dalam pondok tak bergerak-gerak, Ali mula rasa tak sedap hati.

Lagi satu, apabila diamati betul-betul bayang-bayang orang di dalam pondok tol nombor 1, seolah-olah macam perempuan pakai kain telekung. Takkan Salbiah solat dalam pondok sempit itu kot.

"Salll...." Ali cuba memeriksa teman sekerjanya dengan mendekati ruang hulur tiket.

Seperti lelaki pervert cuba skodeng, muka Ali bertenggek di bukaan.

Tekaannya tepat, Salbiah pakai telekung kat dalam pondok tol dan membelakangi ruang hulur tiket.

Pada mulanya, Ali tak nak ganggu sebab ingatkan Salbiah tengah solat, tapi takkan takde gerak sikit kot, sekurang-kurangnya adalah dengar bunyi baca-baca doa ke apa. Ini tak, hening je.

"Salll...apasal sembayang kat sini, abang boleh cover kalau Sal nak pergi surau kat office"

"Yeeee banggg" Suara garau bernada manja membuatkan Ali seperti terkena renjatan elektrik. Meremang semua bulu-bulu di badan.

Sepantas kilat Ali menjauhi pondok tol nombor 1.

Sah. Bukan Salbiah kat dalam tu. Belum sempat Ali nak mengambil langkah seterusnya, sepasang mata terpacul di ruang hulur tiket.

"Astafirullah!"

Ali terjelepok jatuh ke belakang. Nak menjerit macam tersekat suara di kerongkong dan Ali seolah tak dapat mengalihkan pandangan dari terus melihat mata tersebut. Lagi lama dilihat sepasang mata yang sedang merenungnya, sepatutnya makin seram, tapi muncul pula rasa curious.

Kerana dia macam kenal pemilik mata tersebut.

"Ehh...Pa..Pak Jali?"

Pak Jali adalah jiran di kampung dimana sewaktu kecil dia sering bermain-main di rumah jirannya itu kerana anak nombor tiga Pak Jali, Atan merupakan teman rapat sewaktu sekolah rendah. Walaupun cuma sebahagian muka sahaja yang kelihatan, dia amat mengenali wajah Pak Jali. Petang tadi baru je dia melepak di rumah Pak Jali sebelum masuk shift kerja.

"Pak Jali buat ape kat pondok tol tu, tak boleh masuk situ" Kata Ali sambil mengipas-ngipas kotoran dari seluar.

"Aku nak balekkkk...aku sejukkkk" Balas Pak Jali.

Tak tahu kenapa Ali tak terfikir keanehan situasi tersebut. Yang dia tahu hatinya lega apabila mendapati 'makhluk' di dalam pondok tol nombor 1 adalah Pak Jali, jirannya.

"Pak Jali ni takutkan saye je lah, saya ingatkan jembalang mana tadi" Seloroh Ali lagi.

"Aku nak balekkkkk" Itu aja yang diulang-ulang Pak Jali dari dalam pondok tol.

Ali pergi ke pintu pondok tol untuk membukanya dan mendapati ia terkunci dari dalam.

"Pak Jali, bukkakla pintu ni.." Kata Ali sambil cuba membuka-buka pintu dari luar.

"Akuuu nakkk balekkkk" Makin sendu suara Pak Jali. Macam nak menangis.

"Aaaa tunggu situ, saya panggil jaga" Ali bergegas ke pejabat keselamatan. Pekerja office tol hanya kerja ikut office hour, bila shift malam hanya jurutol dengan security guard je yang ada.

"Akuu nakk balekkk wuuu wuu" Sayup-sayup suara Pak Jali di saat Ali masuk ke kompoun pejabat pengurusan tol.

Sampai disana, Ali mendapati Ebon dan Spend, dua penjaga keselamatan di luar pondok berserta Salbiah yang jelas dalam ketakutan.

Tak sempat Ali nak menerangkan tentang Pak Jali, Ebon dan Spend dah menerjahnya.

"Ko pun nampak jugak?"

"Nampak ape?" Jawab Ali kepada soalan yang tiba-tiba keluar dari mulut Ebon.

"Ni haa..Salbiah kena kacau"

Ali lihat Salbiah yang termenung lihat ke bawah, memeluk tubuh sambil terketar-ketar macam baru disimbah air dingin. Baru itu dia teringat, Pak Jali yang dikenalinya takkan buat perangai pelik macam menganggu anak dara orang tengah malam buta, apa lagi curi masuk pondok tol yang memang off-limit untuk orang awam.

"Aku nampak...." Ali tak dapat menghabiskan penerangan tentang jirannya kerana otaknya diserang bertubi-tubi persoalan tentang kelogikan Pak Jali untuk berada di kompleks tol itu.

"Macam ni lah, salah sorang pergi panggil polis" Ali mencadangkan dan tanpa sebarang pertanyaan, Spend pantas menuju ke motor cabuknya dan meninggalkan perkarangan pejabat tol.

"Apa cerita ni Sal?" Ali cuba mendapatkan gambaran lebih jelas tentang keanehan malam pertama kerja mereka.

Setelah mendapat sedikit kekuatan, Salbiah menceritakan her side of the story...

Lebih kurang satu jam dalam pondok, dia ternampak seorang pakcik berdiri tengah-tengah jalan berhadapan dengan pondoknya. Disebabkan Salbiah bukan berasal dari kampung Ali, dia tak kenal dengan Pak Jali dan 'Pak Jali' pun kelihatan seperti orang biasa, Salbiah tak adalah rasa apa-apa yang menyeramkan, cuma risau kerana ada orang tak dikenali tiba-tiba muncul di luar pondoknya.

Salbiah menutup tingkap dan mengunci pintu pondok. Dia cuba tidak mengendahkan kehadiran Pak Jali. Tak tahu bila masa Pak Jali bergerak, tiba-tiba dah ada betul-betul di luar pondok tol.

Kata Salbiah, Pak Jali memasukkan tangan ke dalam kotak hulur tiket sehingga dia terjerit-jerit ketakutan sampai tersandar di pintu pondok, cuba mengelak rabaan Pak Jali.

Dah menjerit minta tolong sampai nak terbelahak masih tak ada bantuan yang datang. Pak Jali pula makin rancak mengibas-ngibas tangan cuba memegang tubuh Salbiah. Akhirnya dia nekad, perlahan-lahan dia buka engsel pintu dan sebaik pintu pondok terbuka, Salbiah mengambil langkah seribu menuju ke arah pejabat keselamatan sambil menjerit sekuat hati.

Pelik. Tak ada pula Ali dengar apa-apa jeritan. Ebon pun cakap benda yang sama. Dengan kesunyian kompleks tol tersebut, jangan kata jeritan, duit syiling jatuh atas jalan pun boleh dengar.

Lampu terang menyuluh mereka. Kereta peronda berhenti depan pejabat keselamatan. Dua orang anggota polis disusuli Spend di belakang berkumpul di parking lot.

Tak banyak persoalan dari polis yang mungkin dah di bagi briefing oleh Spend. Mereka semua menuju ke pondok tol nombor 1.

Saat mereka menghampiri pondok, tangisan dan rengekan Pak Jali berkumandang semula.

"Aku nakk balekkk..."

"Aku sejukkk...."

Pertanyaan salah seorang anggota polis membuatkan Ali terkejut...

"Siape tuan kau?"

"Aku nak balekkkk..." Jawapan sama diulang-ulang.

"Encik, saye sebenarnye kenal dengan orang kat dalam pondok tu" Terang Ali.

Seterusnya Ali menceritakan tentang jirannya Pak Jali. Polis bertanya tahu ke rumahnya dimana? Sudah tentulah Ali tahu.

Buat pertama kali Ali menaiki kereta polis, menyusuri jalan kampung, melewati rumahnya dan memasuki laman sebuah rumah banglo yang baru dibina. Pak Jali menjadi orang kaya baru setelah tanah pusakanya dibeli kerajaan untuk pembinaan lebuhraya.

Saat kereta berhenti, anjung rumah diterangi lampu. Pintu rumah terkuak dan Pak Jali muncul di muka pintu.

"Tunggu sini" Kata pegawai polis kepada Ali yang turut nak menyibuk sama berdepan dengan Pak Jali.

Ali melihat anggota polis menaiki tangga batu rumah banglo baru Pak Jali. Tangan Ali di antara pegang dan lepas pembuka pintu kereta. Memang dah tak boleh tahan perasaan ingin tahunya. Entah macam mana, Ali buka pintu dan segera menyertai anggota polis di muka pintu rumah jirannya itu.

Terkejut polis itu melihat dia tiba-tiba terpacul di belakangnya.

"Kan aku cakap tunggu dalam kete!"

Ali tak menjawab. Pergi mampuslah, yang penting dia nak pastikan bahawa depan matanya sekarang adalah benar-benar Pak Jali.

"Pak Jali, kat tol ade-" Beria-ria Ali cuba terangkan kejadian di tempat kerja, macam anggota polis disebelah tak wujud dibuatnya.

"Iye aku tau. Tunggu sini kejap nak bersiap" Pak Jali memotong kata-kata Ali yang busybody tak tentu pasal dan kembali ke dalam rumah tanpa menjemput mereka masuk.

"Ko cakap tadi rumah dekat sini kan?" Tanya anggota polis yang jelas bengang dengan Ali.

"Ha'ah tuuu" Balas Ali sambil muncung bibirnya menunjuk kearah sebuah rumah bertentangan dengan rumah Pak Jali.

"Dah pergi balek"

Alaaah. Apasal pula kena balik. Ali tak puas hati. Dia nak menyaksikan situasi pelik ini sehingga selesai.

"Tapi encik, motor saye tinggal kat tol tu" Ali cuba memujuk.

"Aku cakap pergi balek. Besok pagi pergi ambil moto" Polis itu masih bertegas menyuruh Ali pulang ke rumah.

"Nanti supervisor saye marah encik. Dah la hari first saye keje" Ali masih tak putus asa. Sengaja dia bangkitkan isu kerja padahal kalau ikutkan bukan masalah besar pun. Cuma mungkin Salbiah agak kelam-kabut nak cover dua tol sementara Ali temankan polis ke rumah Pak Jali.

Polis mengeluh.

"Ha ok. Tapi lepas ni bile sampai kat tol tu balek, aku nak ko telepon boss suruh datang tol tu malam ni juga" Garang betul encik polis ni.

Lebih kurang 10 minit, Pak Jali keluar ditemani isterinya. Bagi salam lebih kurang pada isteri Pak Jali di muka pintu, ketiga-tiga mereka kembali ke komplek tol tersebut. Sepanjang perjalanan, Pak Jali tak bersuara langsung. Walaupun hubungan mereka selama ini mesra, keseriusan wajah Pak Jali ketika itu membuatkan Ali tak berani nak menegur.

Tiba di tol, Ali tengok dah ramai pula orang. Kebanyakkannya mat-mat motor kampung yang baru pulang dari merempit di highway baru.

Keluar dari perut kereta, Ali dah terdengar sayup-sayup jeritan "Aku nakkk balekkk"

Pak Jali mengikut polis dari belakang sebelum disambut oleh seorang lagi anggota polis yang tunggu di tol sementara rakan setugas menjemput Pak Jali di rumah.

"Pakcik buang barang tak betul, tengok ape dah jadi!" Marah polis yang standby di tol tanpa sebarang salam atau pembuka kata.

Ali tengok Pak Jali mengangguk-angguk aja, kemudian terus ke pondok tol nombor 1. Ali mengekor dari belakang tapi ditahan oleh polis.

"Aku cakap ape tadi?"

"Errr.."

"Ko pergi tepon supervisor sekarang!"

Bengang. Terpaksalah Ali meninggalkan tapak kejadian yang tengah hangat tersebut dan menuju ke pejabat. Keadaan di tol semakin meriah dengan jeritan penonton-penonton "haa dia nak terbang dah wei, woi woi dia nak keluar woi".

Dah lah nak tunggu supervisor angkat telefon punyalah seksa, dah angkat kena maki pula kerana telefon tengah-tengah malam buta. Supervisor pun satu hal, pemalas nak mampos. Sepatutnya supervisor kena lah ada tapi malas punya pasal pergi 'outsourced' kerja dia ke jurutol bertugas. Lagipun ingat suka-suka ke telefon malam-malam buta?

"Polis suruh Bang Usop datang ofis sekarang ni jugak"

"Polis? Apesal plak polis?"

"Bang Usop datang je lah, saye dah kena panggil polis ni" Ali malas nak terang panjang-panjang, terus letak telefon dan bergegas ke pondok tol.

Kawasan sekitar tol terang-benderang. Beberapa lori yang mahu guna jalan kampung Ali turut serta menyaksikan drama yang sedang berlangsung di komplek tol sambil menyalakan lampu-lampu kenderaan masing-masing.

Beberapa mat rempit dilihat mengepung pondok tol. Salah seorang dari mereka bergegas ke motor berdekatan Ali berdiri lalu mencapai helmet.

"Bismillahirahmanirrahim...fuh fuh fuh" Tapak tangan dihembus tiga kali oleh pemuda tersebut kemudian di tepuk-tepuk pada helmet yang siap tersarung di kepala. Mat rempit itu menyertai rakan-rakan lain mengepung pondok tol.

"Ape citer plak neeh" Kata Ali sendirian.

Tubuh Pak Jali rapat ke dinding pondok tol. Dari posisi Pak Jali seperti cuba menggapai sesuatu dalam pondok tol melalui lubang tiket. Apa pun yang Pak Jali cuba lakukan jelas tak berjaya kerana riak hampa di wajah sewaktu mengeluarkan tangannya dari lubang. Jiran Ali itu kemudiannya berbincang sesuatu dengan kedua anggota polis.

"Dah! dah! tak payah kepung, tak payah kepung woi!!" Jerit anggota-anggota polis menyuraikan mat-mat rempit yang dah siap berpelukan bahu keliling pondok tol.

"Korang kepung lagi bende tu tak nak keluar!" Kata anggota polis itu lagi.

Semua berundur dan berkumpul di bahu jalan. Bau rokok menyengat keras di hidung walaupun di kawasan terbuka. Semua di sana menyaksikan dengan penuh minat dengan rokok terkepit di jari, menantikan kesudahan, apa yang boleh dikatakan kejadian paling menarik pernah terjadi dalam sejarah kampung Ali.

Pak Jali berkata-kata dengan makhluk dalam pondok tol. Ali tak dengar butirnya kerana jauh. Polis dengan bantuan pengawal keselamatan, Ebon dan Spend membuat perimeter sekeliling pondok tol.

Sebagai seorang kakitangan tol, Ali dibenarkan berada di dalam perimeter, lebih dekat dengan pondok tol nombor 1. Dia melihat dengan jelas bagaimana Pak Jali menarik keluar dengan perlahan kain telekung putih keluar dari lubang tiket. Sebaik kain tersebut berjaya dikeluarkan, apa yang pada mulanya hanyalah kain telekung milik Salbiah, mula mengembang dan terbentuk seperti orang memakai telekung dalam posisi merangkak. Tangan berbalut kain putih memegang pergelangan tangan Pak Jali.

Penonton mula tak senang duduk dan kudrat 4 orang yang mengawal keadaan tidak berjaya menahan mat-mat rempit dan pemandu serta kelindan lori-lori mendekati Pak Jali untuk pandangan lebih jelas.

"Tepi!, tepi!, tolong bagi ruang! Jangan pegang!" Jerit Pak Jali berkali-kali kepada orang ramai yang mula mengerumuninya. Cubaan menepis tangan-tangan gatal yang cuba memegang makhluk bertelekung itu juga gagal.

Agaknya berang dipegang-pegang, makhluk telekung itu melompat dan hinggap di puncak tiang lampu.

"AKU DAH KATE JANGAN PEGANG!! BANGANG BETUL LAH KORANG NI!!" Jerkah Pak Jali pada orang disekelilingnya.

Tanpa dihiraukan, orang ramai mengerumuni pula tiang lampu dimana makhluk itu sedang bertenggek. Ada beberapa mat rempit membaling-baling batu ke arah makhluk milik Pak Jali.

"Buyongg...turun ye" Suara Pak Jali dalam tona memujuk sambil kepala terdongak ke atas melihat lingkaran telekung putih di atas tiang lampu.

"Gile weeiiii hantu tu name dia Buyong ahahahahha" Hilai tawa memenuhi kompleks tol. Kata Ali, dia pun turut serta ketawa, masakan tidak, benda alah itu ada nama! Buyong pula tu!

"Nanti aku bagi telur ayam banyak mane Buyong nak ye"

Buyong menggelongsor turun separuh tiang.

"Ade botol kace? Ha botol kace? Aku nak botol kace!" Pak Ali meminta-minta dengan terlilau kiri kanan. Mana nak cari botol kaca malam-malam buta?

"Botol Tiger boleh tak?" Kata salah seorang dari mat rempit.

"Botol Tiger?"

Mat rempit itu mempamer botol kaca hitam tertera perkataan Tiger Beer.Hasil dari membaca majalah-majalah Mastika milik kakaknya, Ali tahu tujuan botol kaca tapi tak pasti pula boleh pakai botol bir ke tak.

"Lantaklah janji botol kace"

Mat rempit itu meneguk titisan terakhir bir dan menghulurkan pada Pak Jali. Di julangnya botol tersebut ke atas dan sepantas kilat Buyong melompat masuk ke dalam corong botol kaca. Iya, Ali kata dia lihat sendiri bagaimana Buyong 'mengecil' ikut saiz mulut botol, seperti visual efek filem Hollywood.

Sebaik masuk kedalam, sehelai kain kuning dikeluarkan dari poket dan diletakkan atas mulut botol sebelum di ikat dengan getah. Kain merah di sarung atas kain kuning dan diikat lagi menggunakan getah.

Semua di sana bertepuk tangan sebaik Buyong selamat di kurung dalam botol. Bunyi rempitan motor membingitkan kawasan kompleks tol dan mat-mat motor kampung mula beredar. Ali kembali ke pondok tol nombor 4 dan menguruskan pemberian tol-tol kepada lori-lori yang semaking panjang bersusun.

Dari ruang pondok, Ali lihat anggota-anggota polis dan Pak Jali kembali ke kereta peronda setelah berbincang dengan Ebon dan Spend.

Tiga puluh minit berlalu dan hari semakin terang.

"Tuk, Tuk" Ketukan di pintu pondok mengejutkan Ali.

Supervisornya, Bang Usop terpacul di luar.

"Ha apa citer?"

"Bang Usop lambat sangat sampai!"

Tamat.

Share:

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment