PENULIS ASAL: dammerung
SUMBER : https://mforum.cari.com.my
Pada suatu malam, sekumpulan pekerja buruh bersantai di
rumah kotai.Mungkin sebab kebosanan, salah seorang dari mereka mencadangkan
supaya berkongsi kisah-kisah seram sebagai hiburan.
Untuk menambah feel keseraman, sebatang lilin dinyalakan
sebagai sumber cahaya dalam ruangan yang sengaja di tutupkan lampu.
Masing-masing berkongsi pengalaman mistik mereka. Ada yang serius, ada yang
main-main, ada yang jelas bohongnya dan ada juga yang menceduk filem-filem
seram dan di olah menjadi cerita sendiri. Meriah lah suasana dengan hilai tawa
dan asap rokok kretek.
Salah seorang dari mereka bertanya yang malam ini malam
Selasa Kliwon kan?
Semua terdiam, baru teringat yang malam tu malam keramat.
Mamat yang tanya tadi rasa bersalah sebab jadi party pooper dan untuk membaiki
keadaan,dinyalakan 3 batang lilin lagi. Dia mencadangkan supaya semua orang
menyumbangkan cerita, tak kisah lah cerita seram ke, cerita kelakar ke, cerita
sedih ke tapi setiap lilin akan dipadamkan selepas habis 10 cerita. Kiranya
selepas 40 cerita, maka terpadamlah keempat-empat lilin dan menandakan sesi
melepak malam tu tamat.
Mood kembali meriah dengan masing-masing cuba top cerita
yang lain.Satu-satu lilin di padamkan sehinggalah ke lilin yang terakhir. Orang
yang giliran berceritanya dah sampai bertanya, cerita dia yang keberapa?
Setelah mencongak, semua terkejut. Kalau diikutkan tak
banyak mana pun cerita-cerita yang telah disampaikan. Semua mengaku mereka cuma
bercerita dua kali. Di ruangan ada 6 orang, maknanya baru 12 cerita.
Tapi semua mengesahkan banyak cerita yang didengar dan tiada
siapa protes waktu lilin di padamkan. Bila di trace semula cerita
masing-masing,terdapat beberapa cerita yang tak tahu siapa penceritanya.
Terjadilah tuduh-menuduh, si A cakap si C yang cerita dan disahkan si B, tapi
si C tak mengaku dan di sokong oleh lain-lain cakap mana ada dia cerita.
Perkara yang sama berulang-berulang kepada orang lain pula.
Salah seorang menyuruh semua diam. Matanya tertumpu ke arah
dinding plywood di sekeliling mereka.
Dalam nada berbisik dia bertanya, dalam rumah ni ada 6 orang
aja kan?Tapi kenapa bayang-bayang kat dinding tu ada ramai?
Bila toleh ke belakang, benar kata teman mereka. Terdapat
lebih dari 6 bayang-bayang berbentuk orang yang dipantulkan cahaya lilin ke
dinding.
Semua tak berani bergerak, bersuara apatah lagi.
Bayang-bayang misteri kemudiannya berdiri dan berjalan.
Ia menuju ke arah tingkap dan pintu yang terbuka. Tiba-tiba
pintu dan tingkap dikerumuni. Apa yang menakutkan kata sang pencerita,
wajah-wajah orang-orang di luar adalah wajah-wajah keenam-enam mereka yang
berada di dalam rumah.
Secara beramai-ramai, makhluk-makhluk di luar rumah
berkata..
“Aku pun nak bercerita, aku pun nak bercerita, aku pun nak
bercerita …”
Menurut sang pencerita, mereka cuma mampu membatukan diri
sehinggalah waktu subuh apabila penampakan-penampakan di luar hilang begitu
sahaja. Mereka juga sepakat untuk merahsiakan apa yang terjadi tersebut kerana
bimbang akan perkara-perkara tak diingini sekiranya diceritakan ke orang lain.
Tidak lama selepas malam kejadian seorang demi seorang
menemui ajal. Ada yang kemalangan di tempat kerja, ada yang mati sakit misteri,
ada yang mati overdose dadah. Sang pencerita juga claim salah seorang dari 6
orang itu menceritakan kepadanya seminggu sebelum terlibat dalam kemalangan
motorsikal yang meragut nyawanya...
0 comments:
Post a Comment