PENULIS ASAL: dammerung
SUMBER : https://mforum.cari.com.my
Cuaca malam itu agak panas. Niqman hidupkan semula penghawa dingin Proton Iswara yang baru ditutup tak sampai 5 minit lalu. Dia baru kembali dari menghantar penumpang dari Taman Midah dan tersenyum girang memikirkan komisen yang akan diterimanya memandangkan Isnin depan orang akan mula bekerja setelah cuti panjang.
5 minit bertukar 15, dan 20. Niqman mematikan enjinnya. Dia
keluar dan bersandar di hud lalu mengeluarkan rokok. Sambil menghembuskan asap,
dia melihat sekelilingnya. Seperti yang dijangka, orang ramai berpusu-pusu
keluar dari Pintu Ketibaan dan tergesa-gesa mencari teksi, cuma bukan
teksinya.
Setelah hampir 1 jam menunggu, dari jauh kelihatan seorang
wanita menuju ke arahnya sambil menarik bagasi. Tanpa menunggu ditanya, Niqman
sudah siap membuka bonet sambil tersenyum kepada bakal penumpangnya.
Dari penampilan wanita tersebut, Niqman membuat andaian yang
penumpangnya ialah seorang pramugari. Dua tahun di LCCT, dia sudah cam setiap
uniform krew kabin syarikat penerbangan yang turun di sana. Tetapi uniform yang
dipakai wanita itu tidak pernah dilihat sebelum ini. Mungkin juga bukan
pramugari tapi apa-apalah, bukan urusannya lagipun.
Raut wajah penumpangnya tipikal wanita keturunan Cina dan
memiliki rambut separas bahu.
"Where to miss?" Tanya Niqman.
"Cyberjaya".
"Where in Cyberjaya miss?"
"Cyberjaya"
Hanya itu jawapannya. Biasanya Niqman tidak punya isu dengan
penumpang yang ada masalah komunikasi tetapi kali ini dia rasa tak sedap hati.
Apa-apa pun, pelanggan adalah rezeki. Niqman memandu ke Cyberjaya, tahu lah dia
bagaimana menghantar wanita itu ke destinasinya nanti.
Sepanjang perjalanan ke Cyberjaya, Niqman rasa seperti
membawa patung kerana wanita di belakang hanya kaku memandang ke depan sehingga
Niqman terpaksa bertanya.
"Miss you know where to drop you?"
"Yes"
"Where miss?"
"Yes"
Makin tak sedap rasa hatinya. Niqman nekad kalau penumpang
masih tidak menyatakan destinasinya, dia akan menurunkan di MMU sahaja.
Niqman menghidupkan lampu isyarat untuk memasuki simpang
Cyberjaya dan penumpangnya bersuara.
"Please go straight"
Lega hati Niqman mengetahui penumpangnya boleh berkomunikasi
lebih dari "Cyberjaya" dan "Yes". Wanita itu terus memberi
tunjuk arah. Jika tadi dia melewati rumah-rumah moden, kini dia baru
meninggalkan kawasan kampung dan memasuki sebatang jalan yang diapit hutan.
Niqman cuba tak berfikir yang bukan-bukan. Namun susah mahu
di endahkan betapa seramnya jalan yang sedang dilalui sekarang.
Lampu Proton Iswara membelah kegelapan malam dan menyuluh
bukit tinggi di hadapan. Sewaktu teksi berada di puncak, Niqman dapat melihat
dua deret rumah teres di kaki bukit. Niqman bertanya di dalam hati siapa pula
yang sanggup tinggal di tengah-tengah hutan ini.
"My house is the last."
Niqman angguk kecil dan menyusuri jalan menuju ke deretan
rumah tersebut. Dia tidak perlu meninggikan lampu kerana Niqman melihat jelas
di bawah cahaya bulan yang rumah-rumah disitu sudah lama tidak berpenghuni.
Lalang membanjiri laman-laman rumah dan pagar-pagar di
selaputi pokok-pokok tumpang. Beberapa rumah masih menunggu waktu yang takkan
tiba untuk disiapkan.
Penumpangnya mengarahkan supaya berhenti depan rumah paling
hujung. Niqman keluar sebaik penumpangnya membuka pintu dan segera
ke bonet untuk mengeluarkan bagasi.
"Wait here I get money" kata wanita itu sambil
menolak pagar lalu menarik bagasi menuju ke belakang rumah. Niqman menunggu
sambil melihat rumah dengan laman terjaga kemas dan
tingkap-tingkap berlangsir.
Setelah hampir 3 minit menunggu, Niqman mengeluh. Ikutkan
hati mahu sahaja dia berambus dari situ tetapi dia memerlukan wang tambang
wanita tersebut.
Niqman mengambil keputusan untuk mengetuk pintu rumah.
Sebaik di pagar, Niqman terkejut apabila mendapati pagar tersebut dikunci
dengan mangga berkarat.
Dia pasti siapa pun yang menumpang teksinya tadi bukan
manusia. Dengan segera Niqman ke teksi dan menghidupkan enjin. Oleh kerana mahu
cepat, dia tiada masa untuk membuat putaran dan mahu berundur sahaja hingga ke
jalan utama.
Sewaktu berundur Niqman ternampak sekujur tubuh berbalut
kain putih dengan kepala diselubungi rambut panjang di laman rumah
"penumpangnya".
Niqman panik dan melajukan unduran sambil melaungkan azan.
Teksi sampai ke sudut jalan di mana dia harus masuk gear 1 dan memandu terus ke
jalan utama. Sewaktu memutar kereta, lembaga tersebut melayang masuk ke hutan.
CD bacaan ayat-ayat Al-Quran yang memang tersimpan dalam
teksi segera di masukkan ke dalam stereo. Bacaan Al-Quran berkumandang sambil
Niqman memecut keluar dari kawasan perumahan.
Dia menghampiri puncak bukit dan dari jauh ternampak lembaga
berjubah putih dengan rambut panjang mengurai berdiri di tepi jalan.
Di kala dalam ketakutan sempat juga dia berseloroh
sendirian.
"Aku tak nak duit tambang kau, simpan ajalah! Jangan
kacau aku!"
Proton Iswara meluncur laju. Niqman tak berani mahu melihat
mana-mana cermin melainkan cermin depan. Dia memperlahankan kelajuan apabila
memasuki kawasan kampung dan terus singgah di stesyen minyak pertama
dilihatnya.
Setelah menenangkan diri, Niqman pulang ke LCCT. Di
ceritakan pengalaman sebentar tadi ke teman-temannya di hentian teksi.
Mereka mengatakan mungkin ada sesuatu dalam teksi yang buat
benda-benda halus ini tertarik. Ramai-ramai memeriksa teksi Niqman dan tak lama
kemudian mereka menemui botol kecil sepanjang 1 jengkal berisi cairan hitam.
Muncung botol tersebut diikat kain kuning.
Kata-kata salah seorang temannya membuatkan Niqman terkejut.
"Ini minyak dagu ni Man"
Seorang dari temannya mahu membeli botol tersebut dan Niqman
bagi percuma sahaja.
Besoknya Niqman cuti satu hari untuk cuci teksi. Semenjak
dari kejadian malam itu, Niqman lebih berhati-hati menerima penumpang.
0 comments:
Post a Comment